SUKAN tinju sememangnya masih belum mendapatkan perhatian daripada orang ramai yang kelihatan sukar untuk menerima gaya permainannya yang terlalu lasak.
Namun, sekiranya ditanya kepada peminat aktiviti lasak, mereka pastinya menganggap sukan berkenaan mempunyai nilai serta tarikan tersendiri.
Tidak cukup dengan itu, mereka juga pastinya menyedari bahawa sukan tinju sudah mempunyai pencapaian tersendiri dalam kalangan atlet tanah air.
Antara anak tempatan yang sememangnya sinonim dengan seni mempertahankan diri ini ialah peninju berasal dari Pulau Pinang, Agilan Thani.
Dia yang turut dikenali dengan gelaran 'Alligator' mencipta nama dalam kategori 'Welterweight' di bawah Kejohanan One Championship sejak 2015.
Agilan mempunyai rekod yang cukup baik sepanjang kira-kira lapan tahun bergiat dalam sukan tempur.
Selepas melibatkan diri untuk kira-kira lapan tahun secara profesional, atlet berusia 28 tahun itu sememangnya pernah berdepan pahit manis dalam kariernya.
Namun, apa yang lebih membanggakan mengenai Agilan adalah kejayaannya untuk berkecimpung dalam sukan lasak setelah menghabiskan majoriti daripada zaman kanak-kanaknya sebagai seorang yang obesiti.
Katanya, perubahan dalam gaya hidupnya itu berpunca daripada minatnya untuk menonton filem lasak selain pernah berdepan pengalaman dibuli.
"Semasa saya kecil, saya minat seni mempertahankan diri (MMA) dan selalu tengok filem lakonan Donnie Yen. Selepas itu, kadang-kadang saya pun kena buli.
"Jadi, saya bermula berlatih sehingga berat badan pun mula menurun. Satu hari, saya nampak jurulatih pertama saya bertarung di One Championship, jadi saya juga mula lebih berminat sukan ini," katanya kepada Majoriti.
Agilan pernah dibuli ketika zaman kecilnya hanya keranan fizikalnya yang berisi. — Agensi
Ogos lalu, Agilan meraih kemenangan bergaya ketika berdepan pencabar dari Rusia, Magomedmurad Khasaev dalam aksi yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Thailand.
Kejayaan tersebut menyaksikannya memiliki rekod 12-7-0 yang sekali gus meletakkannya di kedudukan keenam dalam kalangan 47 peninju kategori Pro Middleweights sekitar Asia Tenggara.
Tambahnya lagi, harapan turut diletakkan terhadap orang ramai untuk cuba melibatkan diri dalam seni mempertahankan diri, lebih-lebih lagi dalam kalangan golongan muda.
"Sukan tinju ini bukan senang dan lebih ramai perlu ceburinya supaya pada masa akan datang, ada lagi satu platform untuk anak muda bukan sahaja untuk wakili negara dan belajar seni bela diri tetapi, satu platform untuk belajar seni ini dan mengajar kepada orang lain," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram