Johan Ghazali perlu awasi 'comeback' Edgar Tabares di pentas ONE Championship


  • Podium
  • Jumaat, 10 Nov 2023

Pada Oktober lalu, Johan Ghazali (kanan) mendapatkan kontrak daripada ONE Championship bernilai lebih RM400,000 (AS$100,000). — Instagram/JohanGhazali

PROSPEK sukan Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar kini dalam persediaan untuk menunjukkan kemahiran seni mempertahankan dirinya dalam Primetime US, ONE Championship pada 8 Disember depan.

Johan Ghazali ataupun mesra dengan panggilan Jojo itu akan membuat penampilan pertamanya dalam Primetime US itu dengan berdepan juara Muay Thai Antarabangsa WBC, Edgar Tabares bagi pertarungan ONE Fight Night 17.

Kedua-dua atlet seni bela diri itu akan bertembung dalam acara flyweight Muay Thai, yang mana ia akan disiarkan secara langsung pada waktu perdana Amerika Syarikat dari Stadium Tinju Lumpinee legenda di Bangkok, Thailand.

WhatsApp Image 2023-11-10 at 14.21.06

Johan Ghazali akan menentang Tabares pada 8 Disember ini.

Atlet dari Sarawak itu mendapat tempat dalam siri Fight Night selepas mempamerkan aksi luar biasa di ONE Friday Fights selepas menang menentang pesaing-pesaing yang jauh lebih berpengalaman.

Dalam penampilan sulungnya pada Februari lalu, atlet Malaysia - Amerika Syarikat itu hanya memerlukan 16 saat untuk menewaskan pencabar Thailand, Padetsuk Fairtex dengan pukulan ‘knockout’ (KO).

Jojo yang kini berusia 16 tahun itu menggandakan jumlah kemenangannya di pentas global dengan menewaskan atlet berpengalaman seperti Tai Sor Jor Piek Uthai, Samurai Seeopal dan petarung Rusia, Temirlan Bekmurzaev.

Kini, Johan Ghazali akan berdepan dengan atlet dari Mexico, Tabares yang berazam untuk mendapatkan kemenangan ke atas peninju muda itu untuk mendapatkan keyakinan memburu gelaran dunia ONE flyweight Muay Thai.

Peninju dari Mexico itu pernah mencipta sejarah sebagai atlet pertama dari negaranya yang memenangi Gelaran Antarabangsa WBC Muay Thai pada 2022, namun belum berpeluang memenangi kejuaraan dalam ONE Championship.

Tabares yang berusia 29 tahun tewas kepada Juara Dunia ONE Flyweight Muay Thai, Rodtang Jitmuangnon dalam penampilan sulung Mei lalu sebelum tewas kepada pencabar peringkat di ranking ke-5, Elias Mahmoudi pada Ogos.

Dengan banyak peluang untuk direbut untuk kedua-dua peninju itu, pertarungan tersebut dijangka akan menjadi perlawanan yang sengit dan ramai penyokong menanti sama ada Johan Ghazali mampu membuat kejutan lagi. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram