HANYA mengambil masa selama dua minit 44 saat untuk menumbangkan lawan dari Thailand yang mana merupakan peninju profesional negara, Daeloniel McDelon Bong berhasil memenangi tali pinggang kejuaraan Asian Boxing Federation (ABF).
Perlawanan yang berlangsung di Spaceplus, Bangkok pada Khamis itu menjadi venue bersejarah buat Daeloniel kerana muncul atlet pertama dari Sarawak memenangi kejohanan ABF kategori bantamweight (51–53.5 kilogram).
Pesaingnya yang juga wakil tuan rumah iaitu Artid Bamrungauea terpaksa akur dengan kekuatan dan kemahiran Daeloniel ataupun lebih mesra dengan sapaan Kilat Boy itu dan akhirnya tewas dengan kiraan technical knock out (TKO) pada pusingan ketiga daripada perlawanan 10 pusingan.
Kedua-dua peninju mempamerkan aksi cukup baik seawal pusingan pertama, namun Kilat Boy yang terkenal dengan kelincahannya mencuri peluang melepaskan tumbukan padu di muka peninju Gajah Putih itu.
Gerakannya itu jelas membuahkan hasil apabila tumbukan kanan dan kirinya tepat mengenai wajah atlet Thailand tersebut, sekali gus menumbangkannya pada pusingan ketiga perlawanan berkenaan.
Memetik laporan dari Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Daeloniel melahirkan rasa syukurnya kerana persediaan latihan selama dua bulan membuah hasil apabila berjaya membawa pula trofi kejohanan tersebut.
"Alhamdulillah bersyukur dengan kejayaan ini selepas persiapan rapi selama dua bulan untuk menghadapinya.
"Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (Saba) Datuk Rahman Lariwoo, Pengurus Gulbudin Rahman serta jurulatih Muhammad Herman Morni dan Wilbur Andogan.
"Saya tidak terlalu yakin namun memberikan fokus sepenuhnya terhadap perlawanan dan sentiasa berhati-hati dengan pergerakan," komen Daeloniel menerusi aplikasi WhatsApp selepas perlawanan tamat.
Daeloniel ketika memenangi tali pinggang kejuaraan ABF. — Facebook/Ukas
Pemain berusia 24 tahun tersebut juga berkongsi matlamatnya, yang mana berhasrat untuk mempertahankan kejuaraan dimenanginya itu pada perlawanan seterusnya dijangka berlangsung pada bulan Januari atau Februari 2024.
Selepas ini, Daeloniel akan meneruskan perjuangannya dalam sukan tinju itu dengan turun berentap pada aksi Terbuka Sarawak yang dijadual berlangsung pada tahun 2023 nanti.
Daeloniel menjadi atlet kedua seni mempertahankan diri dari Sarawak mencipta nama selepas peninju Muay Thai negara, Johan Ghazali berjaya mendapatkan kontrak daripada ONE Championship bernilai lebih RM400,000 (AS$100,000).
Terdahulu, atlet berusia 16 tahun itu berjaya meraih kontrak berkenaan selepas menundukkan lawannya dari Rusia, Temirlan Bekmurzaev dalam ONE Friday Fights 36 pada Oktober lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram