SEORANG atlet peninju lelaki dilaporkan maut dalam satu perlawanan di Auditorium Universiti Darul Ulum Jombang, Jawa Timur, Indonesia pada Selasa.
Mewakili bandar Bondowoso, Java, Indonesia, Farhat Mika Rahel Riyanto, 15, meninggal dunia selepas berdepan dengan lawannya, Putu Nandi Keswara dari daerah Blitar, Indonesia.
Gagal mengelak daripada tumbukan lawan, Farhat kemudiannya tumbang dan rebah di gelanggang sebelum didatangi pengadil perlawanan.
Pentadbir Persatuan Tinju Amatur Kebangsaan Jombang Pertina, Muhammad Jono berkata, mangsa tidak sedarkan diri dan dibawa ke hospital Daerah Jombang dengan segera.
"Berdasarkan peraturan perlawanan, apabila berlaku insiden kecemasan, kami terus membawa mangsa ke hospital berhampiran.
"Farhat diserang penyakit sawan ketika dalam kenderaan ambulans, dia koma dan kemudiannya meninggal ketika menerima rawatan di hospital," katanya.
Dalam pada itu, keluarga mangsa difahamkan tidak berasa marah dengan kejadian itu dan menganggap ia sebagai satu insiden yang tidak disengajakan.
Tegasnya, pertandingan tinju terbabit telah mengikut segala ketetapan SOP dan syarat perlawanan.
"Jurulatih dan pengadil sentiasa mematuhi peraturan kerana perlawanan dihentikan segera sebaik berlaku kecemasan.
"Jurulatih juga telah mencampakkan tuala putih ke gelanggang sebagai tanda menyerah kalah," jelasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram