[VIDEO] Perlawanan UFC terbatal, peninju Los Angeles berguling lepas kemaluan ditendang lawan


  • Benua
  • Sabtu, 28 Okt 2023

Victor Henry meronta kesakitan selepas kemaluannya ditendang peninju dari Afghanistan. — Agensi

PERTARUNGAN tinju UFC antara Javid Basharat dari Afghanistan dan Victor Henry (Los Angeles) di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad lalu dibatalkan oleh pengadil selepas Victor mendakwa kemaluannya ditendang dalam pertempuran tersebut.

Serangan itu dikatakan sengaja dilakukan selepas Javid Basharat dilihat melepaskan tendangan tepat ke arah anggota badan peninju tersebut.

Terkesan dengan serangan itu, Victor kemudiannya terus terbaring dan meronta kesakitan sambil memegang kemaluannya di tengah gelanggang.

Seorang kru perubatan tampil untuk melihat situasi tersebut namun, tendangan itu disahkan tidak mencederakan kemaluannya malah dakwaan ia terkena tepat di bahagian itu adalah salah.

Meskipun cuba menjelaskan kepada pengadil, namun keputusan untuk membatalkan perlawanan itu tetap diteruskan yang sekali gus mengundang kemarahan penonton.

Pengadil Daniel Movahedi berkeras dengan pendiriannya dan enggan bersetuju dengan nasihat diberikan pakar perubatan itu.

Sejurus perlawanan berkenaan dibatalkan, Victor dilaporkan termuntah beberapa kali di belakang pentas sebelum dibawa ke hospital untuk diberikan rawatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram