KAPTEN pasukan Terengganu FC (TFC), Habib Haroon sah tidak bersama kelab itu bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Selepas dua musim mengemudi jentera tengah TFC, pemain kelahiran Bahrain itu mengakui dia memilih untuk beralih angin ke kelab lain bagi menimba lebih pengalaman dan peluang di tempat baharu.
Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun itu belum bersedia mendedahkan hala tujunya musim depan memandangkan kontraknya bersama skuad Penyu belum tamat sehingga hujung tahun ini.
"Saya 150 peratus tidak akan bersama pasukan (TFC). Saya sudah ada pasukan tetapi belum mengumumkannya sekarang kerana kontrak saya akan tamat akhir bulan ini.
"Ini adalah antara musim yang menakjubkan. Saya telah mengabdikan hidup saya di sini dan saya sangat menyayangi pasukan ini (TFC) dan akan sentiasa menyayangi mereka," katanya.
BACA LAGI: Ini rumah saya, saya pasti akan kembali — Habib Haroon
Walaupun bakal berkelana, Habib berkata, dia akan tetap merindui peminat bola sepak Terengganu yang disifatkan sebagai antara penyokong kelab terbaik di negara ini.
Oleh itu, dia berharap dapat kembali beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu suatu hari nanti kerana bumi Terengganu dianggap sebagai rumah keduanya.
"Sejak awal kerjaya saya, saya tidak pernah berasa disayangi peminat seperti yang ditunjukkan oleh peminat di sini. Terengganu akan sentiasa di hati saya. Saya tidak akan pernah melupakan mereka,” katanya.
Habib memulakan kariernya di TFC pada 2021. Dia antara watak penting yang membawa skuad Penyu ke pentas akhir Piala FA pada 2022 dan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023.
Selain itu, dia turut membantu TFC layak ke Piala AFC 2023. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram