TERENGGANU FC II (TFC II) muncul juara edisi sulung Piala Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) 2023, setelah menewaskan Johor Darul Takzim II (JDT II) 1-0 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 11 November lalu.
Dalam perlawanan tersebut, Muhd Isa Raman muncul wira menceriakan kem TFC II selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-87, sekali gus memastikan trofi Piala MFL menjadi milik pasukan itu.
Ditanya mengenai masa depan bersama pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu, Hairuddin Omar atau lebih mesra dengan panggilan Hai-O berkongsikan status terkininya.
“Ya, Insya-ALLAH, akan sign kontrak baru dengan TFC II," katanya kepada Majoriti.
Kredibiliti serta kebolehan Hai-O menaikkannya sebagai salah seorang jurulatih tempatan terbaik ketika ini. — Facebook/Terengganu FC
Di samping itu, Hai-O turut memberi pandangan mengenai beberapa tonggak TFC II yang belum mendapat panggilan daripada skuad Bawah 23 Tahun (B-23).
Ia berikutan selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan senarai 24 pemain yang dipanggil oleh Ketua Jurulatih Harimau Muda, Juan Torres Garrido bagi aksi persahabatan menentang China menjelang persiapan Piala Asia 2024 di Qatar.
“Pendapat saya, saya beberapa pemain TFC II seperti Ubaidullah Shamsul Fazili, Muslihuddin Atiq Mat Zaid, Faris Rifqi Abdul Rashid dan Nazul Izamil Zulkifli harus diberi peluang ke skuad B-23.
“Saya tidak pasti di pihak national team, mungkin mereka mahukan pemain yang berumur 23 tahun yang sudah bermain di Liga Super.
“Tapi pemain seperti Atiq dan Faris Rifqi juga sudah ada minit permainan di Liga Super,” jelasnya.
Meskipun belum mendapat panggilan ke skuad utama Harimau Muda, bekas penyerang kebangsaan negara itu bagaimanapun yakin anak-anak buahnya akan terus berusaha dengan lebih gigih lagi di masa hadapan.
“Tapi, apa-apa pun saya yakin pemain saya seperti Atiq, Faris Rifqi, Nazul dan Ubai akan lebih menyerlah di masa depan.
“Walaupun tidak tersenarai ketika ini tapi itu tidak akan melemahkan semangat mereka untuk terus berusaha lebih gigih lagi.
“Apa-apa pun mungkin coach national sudah mempunyai perancangan tersendiri, kita doakan kejayaan untuk pasukan kebangsaan B-23,” ujarnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram