[VIDEO] Tong sampah, 'menganjing' Mickey antara momen sukar dilupakan Wak Am


  • Podium
  • Selasa, 19 Dis 2023

Sebahagian momen perpisahan Wak Am (empat dari kanan) bersama pihak pengurusan Sabah FC. — Facebook/Sabahfc

SELEPAS lebih 20 tahun berbakti dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), Amri Yahyah akhirnya sah mengumumkan persaraan apabila kempen Liga Super 2023 berakhir pada Ahad.

Sabah FC berjaya menutup tirai saingan Liga Super dengan merebut tangga ketiga selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan keputusan 2-0.

Sebut sahaja nama legenda Selangor FC, Amri Yahyah, pastinya semua penyokong bola sepak tanah air mengenalinya sebagai 'budak nakal'.

Pastinya, setiap perlawanan Sabah FC yang melibatkan Ketua Kampung Likas itu sering dihiasi dengan kemeriahan yang sukar dilupakan oleh penyokong setia Sang Badak mahu pun peminat bola sepak tanah air.

Berikutan Majoriti menyenaraikan tiga momen yang sukar dilupakan oleh penyokong setia Amri.

1) Raikan gol dengan tong sampah

Amri Yahya atau mesra dengan panggilan Wak Am itu pernah mengejutkan penyokong bola sepak selepas meraikan gol dengan tong sampah.

WhatsApp Image 2023-12-18 at 21.15.13

Aksi Amri yang memasukkan dirinya ke dalam tong sampah. — Facebook

Ketika perlawanan berdepan Melaka United musim lalu, Wak Am pernah masuk ke dalam sebuah tong sampah yang sempat mencuit hati para penyokong.

Aksi tersebut dibuat selepas dia berjaya menjadi wira buat Sabah FC melakar kebangkitan ketika berdepan skuad Hang Tuah di Stadium Likas, Sabah.

2) Kacau JDT buat lubang penalti

Ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2022 berdepan Johor Darul Takzim (JDT), Wak Am pernah menjadi bualan penyokong kerana aksi ‘bergelek’ membenamkan kasutnya untuk merosakkan kawasan penalti di atas padang sebelum Bergson da Silva mengambil sepakan penalti.

Seperti ungkapan usaha tidak akan mengkhianati hasil, Bergson gagal menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Berikutan insiden tersebut, Wak Am dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan.

Dalam perlawanan separuh akhir Piala Malaysia tersebut, JDT hanya berjaya mencatatkan kemenangan keputusan 1-0.

3) 'Menganjing' Faisal Halim

Wak Am yang sememangnya dikenali sebagai watak penghibur itu pernah mencetuskan kontroversi kerana dilihat meniru gaya keraian gol seperti penyerang sayap Selangor FC, Faisal Halim.

Penyerang kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu dilihat meraikan kejayaan manis pasukan The Rhinos dengan laungan ‘siu’ di tepi padang usai perlawanan.

Perkara tersebut menjadi tumpuan kerana gaya 'siu' berkenaan cukup sinonim dengan Faisal Halim atau mesra dengan sapaan Mickey itu.

Gaya tersebut cukup menarik perhatian penyokong bola sepak tempatan namun ia seperti sesuatu yang sukar diterima oleh peminat setia Gergasi Merah.

Dalam perlawanan Liga Super tersebut, Sang Badak meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Selangor dengan keputusan 2-1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram