Saddil Ramdani, Ramon Machado antara tonggak kekal bersama Sabah FC musim depan


  • Podium
  • Selasa, 19 Dis 2023

Sebahagian aksi terakhir perlawanan Liga Super antara Sabah FC dan KDA FC. — Facebook/Sabahfc

MESKIPUN saingan Liga Malaysia (Liga M) sudah menutup tirai musim ini, Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee bagaimanapun kini dalam persiapan menjelang pembukaan perlawanan musim depan.

Difahamkan, Kim Swee yang sedang bercuti itu sudah memikirkan perancangan mengenai masa depan Sabah musim 2024 untuk memperkukuhkan pasukan kendaliannya.

Untuk tahun kedua berturut-turut, The Rhinos sekali lagi menduduki tempat ketiga dalam Liga Super, dengan meraih 54 mata daripada 26 perlawanan, selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 2-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad.

Dua gol tersebut disumbangkan oleh pemain tengah, Irfan Fazail seawal minit ketujuh dan penyerang kelahiran Brazil, Ramon Machado minit ke-43.

WhatsApp Image 2023-12-19 at 08.45.24 (1)

Ramon Machado mencetak satu jaringan sekali gus membantu Sang Badak merebut tempat ketiga Liga Super 2023. — Facebook/Sabahfc

Pastinya, musim depan boleh menjadi kerja yang lebih sukar kerana difahamkan kelab itu akan mengurangkan bajet mereka dari segi pembelian pemain.

“Saya belum memikirkan soal pembelian pemain lagi kerana saya perlu berbincang dengan pihak pengurusan mengenai kewangan dan pendekatan yang boleh kami ambil.

“Apabila kami pulang dari bercuti, kami berharap dapat mengetahui apa yang kami ada dan kemudian merancang. Dari segi tunggakan gaji, pengurusan sudah pun menyelesaikannya.

“Kami bangkit menuju penghujung musim untuk menduduki tempat ketiga sekali lagi.

“Saya mahu kami mengekalkan prestasi ini kerana kami akan beraksi di separuh akhir Zon Asean AFC tahun depan sebelum liga bermula pada April," kata Kim Swee yang akan terus mengendalikan Sabah untuk musim depan.

Meskipun begitu, beberapa nama pemain Sang Badak mula membanjiri media sosial selepas dikhabarkan akan meninggalkan pasukan yang berpangkalan di Borneo itu.

Antaranya ialah penyerang veteran, Amri Yahyah yang mengumumkan persaraannya, bek sayap Rizal Ghazali yang akan kembali ke kelab Semenanjung dan Irfan Zakaria atas sebab tamat kontrak.

“Beberapa pemain akan pergi tetapi saya mahu mereka meraikannya dahulu dengan pemain lain. Masuk dan keluar adalah sebahagian daripada bola sepak.

“Saya tahu Rizal, Amri dan Irfan Zakaria akan berpindah kerana kontrak mereka telah tamat. Kami mengekalkan 19 pemain dan akan membawa masuk beberapa pemain tempatan Sabah," jelasnya.

Beberapa pemain utama yang akan kekal ialah Ramon, pemain tengah Portugal, Telmo Castanheira, pertahanan tengah Brazil Gabriel Peres, pemain sayap Indonesia, Saddil Ramdani, pemain tengah Dominic Tan, pemain tengah Stuart Wilkin dan penyerang, Darren Lok. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram