[VIDEO] Ini rumah saya, saya pasti akan kembali — Habib Haroon


  • Podium
  • Isnin, 18 Dis 2023

Habib merupakan salah seorang import yang cukup berpengaruh selepas tiga musim bersama skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC

SELEPAS hanya menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga keenam, Terengganu FC dilaporkan akan cuba memperkuatkan skuad untuk saingan musim depan.

Mereka yang sedikit merudum berbanding saingan musim lalu dikhabarkan mahu mengurangkan penggantungan terhadap import dan cuba memberi kepercayaan terhadap pemain tempatan.

Walaupun perancangan itu kurang meraih sokongan ramai, masih ada yang percaya bahawa keputusan berkenaan cukup baik dalam mengurangkan perbelanjaan pasukan.

Antara pemain import yang dikhabarkan bakal ditunjukkan jalan keluar ialah pemain tengah, Habib Haroon selepas tiga musim beraksi bersama kelab Pantai Timur berkenaan.

Meskipun memiliki prestasi cukup baik di atas padang, pemain berusia 23 tahun terbabit dikhabarkan sering terlibat dengan isu disiplin dalam beberapa perlawanan.

BACA LAGI: ‘Tak pernah rasa disayangi fans sebegini’, Habib Haroon 150 peratus sah tinggalkan TFC

2302094

Habib Haroon sudah beberapa kali diberikan peranan kapten skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Jadi, situasi itu pastinya menyebabkannya berada dalam senarai yang mungkin disingkirkan supaya membolehkan Terengganu FC meletakkan seseorang yang berkualiti di posisi berkenaan.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Bahrain terbabit tampil memberikan ucapan penghargaan terhadap penyokong skuad Sang Penyu dengan menghargai hubungannya dengan kelab itu.

"Satu perkara yang boleh saya katakan ialah saya tidak pernah merasai suasana seperti ini dan saya tahu, mereka sering berada di hati saya.

"Tetapi, saya tidak pernah ucapkan selamat tinggal dan saya harap saya akan dapat berjumpa mereka dalam masa terdekat. Saya akan pulang pada masa depan kerana ia ialah rumah saya" katanya dalam satu klip di TikTok Nadhieerah.

Sepanjang tiga musim beraksi buat skuad Sang Penyu, Habib pernah menikmati beberapa pencapaian bermakna, seperti membawa pasukan itu ke perlawanan akhir Piala FA 2022 dan Piala Malaysia 2023.

Di samping itu, persembahan konsistennya turut menyaksikan Terengganu FC melangkah ke Piala AFC 2023 yang mana pasukan berkenaan beraksi dengan cemerlang meskipun tidak melepasi peringkat kumpulan.

Selain berpeluang beraksi dalam Liga Super 2024/25, pemain terbabit pastinya akan cuba untuk meraih pengalaman menyertai pasukan di Timur Tengah dengan Bahrain dilihat sebagai destinasi terbaik.

Selain Habib, beberapa import lain turut dilaporkan bakal meninggalkan skuad Sang Penyu dengan pemain tengah, Omid Nazari serta penyerang kelahiran Thailand, Adisak Kraisorn dikatakan berada dalam senarai terbabit.

Namun, mereka juga dilaporkan sedang dalam usaha membawa masuk pemain tempatan berkualiti dengan dua penyerang Johor Darul Takzim, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid mula dikaitkan dengan kelab itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram