MAHKAMAH Majistret Shah Alam, Selangor pada Sabtu membenarkan permohonan reman tujuh hari terhadap seorang lelaki yang dipercayai membunuh isterinya dengan menggunakan dumbel, di sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak, Hulu Langat, Selangor.
Timbalan Pendaftar Saidatul Akmar Suberi membenarkan perintah tahanan reman terhadap lelaki yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap itu hingga Jumaat depan.
Terdahulu, suspek yang berusia 38 tahun tiba di perkarangan Mahkamah Shah Alam dengan memakai pakaian lokap itu, diiringi pegawai dan anggota polis pada pukul 9.20 pagi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata, seorang pensyarah kolej maut dipercayai selepas dipercayai dipukul menggunakan dumbel oleh suaminya, akibat cemburu dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak, Shah Alam awal pagi Jumaat.
Mohd Iqbal berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian itu pada pukul 5.33 pagi oleh suspek sendiri, yang mengatakan isterinya mengalami sawan sebelum membawa mangsa ke Hospital Shah Alam kerana tidak sedarkan diri.
Beliau berkata, bagaimanapun pemeriksaan awal oleh doktor ke atas wanita berusia 33 tahun itu mendapati, terdapat kecederaan di beberapa bahagian tubuhnya dan siasatan lanjut mendapati mangsa dipukul oleh suspek akibat cemburu.
Mohd Iqbal berkata, bertindak atas maklumat tersebut, pada pukul 12.49 tengah hari, lelaki itu ditahan di Hospital Shah Alam dan senjata yang dipercayai digunakan untuk memukul isterinya iaitu sebuah dumbel, turut dirampas.
Dalam pada itu, keluarga seorang pensyarah wanita yang maut dipercayai dibunuh suaminya itu masih dalam keadaan terkejut dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis.
Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, dia menerima khabar duka berhubung kejadian itu ketika sedang bekerja sekitar 8 pagi Jumaat.
"Pada waktu itu, saya hanya diberitahu bahawa mangsa sudah meninggal dunia dan diminta hadir ke Hospital Shah Alam (HSA)
"Kami sekeluarga memang masih terkejut dengan kejadian itu dan berharap polis dapat menjalankan siasatan menyeluruh," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik HSA pada Sabtu.
Lelaki itu berkata, mangsa merupakan anak kedua daripada tiga beradik.
Menurutnya, jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di kampung halaman ibunya iaitu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Kembong, Pulau Indah, Pelabuhan Klang petang Sabtu. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram