ISU jalan raya di Sabah kembali hangat diperkatakan warganet susulan kerosakan tar yang dialami penduduk di kawasan Pantai Timur Sabah baru-baru ini.
Menerusi perkongsian warganet di Twitter pada Sabtu, memaparkan laluan berkenaan kembali rosak dipercayai beberapa bulan selepas tamatnya jelajah Borneo oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada September lalu.
Jalan sempit, berlubang dan tidak rata dikatakan antara punca laluan di situ kerap sesak selain kerosakan teruk dialami pada kereta pemandu yang melalui jalan tersebut.
Merupakan satu-satunya laluan yang menghubungkan penduduk di Kota Kinabalu untuk ke Tawau, Lahad Datu dan Semporna, ia nyata satu bebanan yang cukup besar bagi masyarakat di sekitar kawasan berkenaan.
Beberapa pihak mendakwa bahawa laluan itu sebelum ini telah diperbaiki, namun ia hanya kekal untuk seketika dan sehingga kini, tiada pembaikan jalan dilakukan pihak berkenaan.
"Ini merupakan laluan sama yang YDP lalu masa jelajah Borneo baru-baru ini.
"Masa YDPA lalu bukan main cantik sebab baru siap, sekarang selepas beberapa bulan dah jadi macam ini, " kata Iman Azlan.
Turut menyoal punca dan sebab kepada kerosakan yang kerap melanda kawasan tersebut, Iman Azlan meluahkan kekecewaannya susulan kerosakan kereta yang dialami ramai pemandu.
"Kadang-kadang aku terfikir, apa punca sebenarnya, lori besar, jalan tak ikut piawaian, entahlah tapi sebagai pengguna jalan ini memang rasa kecewa sangat.
"Banyak orang kereta dia dah tersadai di bahu jalan selepas lalu di jalan ini," katanya.
Untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri sebelum ini telah mengadakan jelajah 'Kembara Kenali Borneo' selama seminggu di Sabah dan Sarawak pada September lalu.
Jelajah tersebut bermula dari Tawau, Sabah pada 3 September dan berakhir di Teluk Melano, Sarawak pada 13 September dengan melibatkan perjalanan sejauh 2,154 km.
Namun, masih belum ada sebarang tindakan lanjut daripada pihak bertanggungjawab berhubung isu yang tular di laman media tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram