[VIDEO] Lagak samseng pemandu ‘King’ tahan 2 kereta tengah jalan cetus ketakutan penduduk di Cheras


  • Tular
  • Sabtu, 16 Dis 2023

Tangkap layar seorang pemandu lelaki bertindak samseng apabila dirakam menahan kenderaan di sekitar laluan Cheras pada Jumaat.

SEORANG pemandu lelaki berpelakuan samseng apabila didakwa kerap menahan kereta dan individu di kawasan sekitar Cheras, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam dua rakaman tular berbeza, memaparkan tindakan pelaku yang sengaja menghalang laluan pemandu dan dilihat seolah-olah seperti mahu memeras ugut mangsa tanpa alasan yang kukuh.

Lelaki berkaca mata dan berbaju hijau itu menggesa agar pemandu terbabit keluar dari kenderaannya selain turut mengetuk tingkap kereta tersebut.

Kejadian yang dipercayai berlaku pada lewat malam itu kemudiannya tular dan hangat diperkatakan warganet.

Dalam pada itu, satu lagi video berasingan turut memaparkan individu serupa menahan pemandu wanita di sebuah kawasan kediaman.

Menyoal mangsa berkaitan rumah di kawasan tersebut, situasi itu nyata mengundang rasa cemas khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan Cheras.

Motif kejadian belum dapat dipastikan setakat ini dan tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa berlaku dalam kedua-dua video tersebut.

Belum ada kenyataan pihak berkuasa berhubung insiden itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram