[VIDEO] Langgar mati pelajar di Ipoh: Suspek dakwa dah tekan brek, Ketua Polis Negara jamin siasatan telus dan adil


  • 112
  • Sabtu, 16 Dis 2023

Tangkap layar kemalangan membabitkan remaja di Ipoh, Perak pada Jumaat.

SEORANG pegawai kanan polis yang disyaki melanggar mati seorang pelajar di Ipoh, Perak pada Jumaat mendakwa sudah menekan brek sebelum terlanggar mangsa secara tidak sengaja.

Berdasarkan laporan polis dibuat suspek yang kini tular di media sosial, suspek mendakwa, mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, tiba-tiba berhenti secara mengejut di depan keretanya lalu menyebabkannya tidak dapat mengelak daripada merempuh mangsa meskipun sudah menekan brek.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

polisrepot

Laporan polis yang didakwa dibuat suspek dan kini tular di media sosial.

Menerusi laporan polis itu, suspek juga mengaku sebelum itu mengejar mangsa kerana cuba menahannya gara-gara bunyi ekzos bising, namun pada masa sama mempertahankan tindakannya beredar dari tempat kejadian atas faktor keselamatan selepas dimarahi orang awam yang seolah-olah mahu memukulnya.

Dalam pada itu, Buletin Utama melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberi jaminan bahawa siasatan telus dan adil akan dilakukan membabitkan semua sudut, berhubung kejadian seorang pegawai kanan polis didakwa melanggar mati pelajar sekolah berusia 17 tahun pada Jumaat.

Beliau berkata, pegawai kanan polis berusia 44 tahun itu dibawa ke mahkamah pagi Sabtu, untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

“Polis tidak akan sesekali melindungi atau berkompromi dalam isu ini walaupun ia membabitkan pegawai kanan polis.

“Saya sudah bercakap dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri serta KP Perak bagi memantau siasat kes ini dengan rapi.

“Siasatan awal dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 namun polis juga akan melihat kepada keperluan siasatan di bawah lain-lain seksyen bersesuaian dengan kesalahan apabila siasatan lengkap kelak,” katanya.

BACA LAGI: Adik dilanggar 2 kali, kami akan tuntut keadilan — kakak Muhammad Zaharif

Pada Jumaat, pegawai kanan polis itu ditahan bagi membantu siasatan kemalangan maut membabitkan pelajar tingkatan lima berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru dekat Ipoh, Perak.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pegawai dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah itu direman selama tiga hari bermula Sabtu untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Ativa dan motosikal jenis Yamaha, pada pukul 12.40 tengah hari.

"Penunggang motosikal, iaitu remaja berusia 17 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala pegawai polis berusia 44 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya adalah kecederaan bahagian dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya," katanya.

Perintah reman terhadap lelaki berkenaan dikeluarkan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi membenarkan permohonan polis untuk siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram