Beri bayangan tinggalkan JDT, anak jati Sabah jadi rebutan 2 kelab tempatan


  • Podium
  • Rabu, 13 Dis 2023

Kelibat Ahmad Hazwan Bakri semakin sukar dilihat bersama pasukan JDT pada musim 2023. — Facebook/JDT

BEKAS tonggak utama skuad kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri kini kian meniti di bibir peminat bola sepak tanah air susulan perkongsian terbaharunya di laman Instagram pada Selasa.

Seolah-olah memberi petunjuk akan meninggalkan kelabnya Johor Darul Takzim (JDT), ucapan 'terima kasih' antara kenyataan ringkas yang dimuat naik di Instastory peribadinya.

Belum mendapat sebarang maklum balas mahupun kenyataan rasmi dari kelab gergasi tanah air itu, mesej tersebut dilihat seperti gambaran bahawa penyerang kelahiran Labuan berkenaan mahu mencari majikan baharu bagi mendapatkan semula sentuhannya di atas padang.

Musim 2023 menyaksikan tahun malang buat dirinya apabila langsung tidak memiliki penampilan bersama skuad senior dalam kesemua pertandingan domestik dan juga pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL),

Kali terakhir Hazwan berjaya mencatatkan penampilan dalam pasukan utama adalah ketika JDT berdepan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Pahang musim lalu dengan dia diberikan peluang berada dalam kesebelasan utama.

Baca juga: Saingan melampau di JDT, ‘play maker’ HM boleh angkat kaki ke skuad Seladang

Sejak itu, pemain yang kini berusia 32 tahun tersebut tidak lagi berpeluang merasai minit permainan bersama pasukan utama apabila dia hanya beraksi buat JDT II dalam saingan Piala MFL 2023.

uanm

Tangkap layar daripada hantaran Hazwan di Instastory peribadinya.

Dengan khabar angin kuat mengatakan pemain itu bersedia untuk disambar mana-mana kelab menjelang pembukaan aksi musim depan, penyokong mula tampil dengan harapan serta misi tersendiri bagi menyaksikan penyerang versatil itu menyarung jersi pasukan pilihan masing-masing.

Komen peminat di media sosial melihatkan dua pasukan di bawah antara yang paling sesuai untuk dijadikan medan kebangkitan buat bekas peledak Harimau Malaya itu.

Sabah FC

Pasukan Sabah FC menduduki carta teratas bagi pilihan penyokong yang mahu menyaksikan Hazwan Bakri kembali menabur bakti di negeri kelahirannya.

Ditambah pula dengan peningkatan mendadak dipamerkan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee pada musim ini, ia pastinya memberikan kelebihan kepada skuad The Rhinos menerusi gandingan baharu yang boleh dicuba bersama Hazwan Bakri.

msd

Sabah merupakan antara pasukan terbaik dalam saingan Liga Super musim ini. — Facebook/SabahFC

Berusia 32 tahun, larian serta ledakannya masih tajam di depan gol selepas berjaya menjaringkan dua gol dalam lima penampilan di saingan Piala MFL.

Bahkan, sokongan padu peminat Sabah pastinya memberikan keterujaan buat pemain berketinggian 1.75 meter itu untuk terus menyinar seperti di era kegemilangannya pada satu ketika dahulu.

Perak FC

Skuad Perak juga merupakan antara pasukan sesuai untuk diwakili Hazwan Bakri yang pastinya akan dijadikan pemain nombor 10, selaku peledak utama Sang Seladang kelak.

Perak di bawah kendalian Yusri Che Lah kini lebih tajam dan cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini selepas berjaya mengelak daripada tergolong dalam tiga pasukan tercorot liga.

ycll

Yusri Che Lah berjaya menyelamatkan pasukan Perak daripada terjatuh ke kedudukan tercorot liga musim ini. — Facebook/Perak FC

Meskipun ramai yang menafikan peluang Perak sebagai pencabar musim ini, namun sejak diambil alih Yusri pada pertengahan musim, menyaksikan corak permainan skuad The Bos Gaurus (TBG) semakin tersusun dan membuahkan hasil menerusi gandingan pemain muda dan otai dimiliki.

Kehadiran Hazwan Bakri ke Perak diyakini mampu memberikan kelebihan buatnya dengan bakat serta ketajamannya ketika meledak, mampu menjamin tempatnya selaku pemain tetap di posisi penyerang hadapan.

Namun, sehingga kini berita itu masih belum dapat dipastikan kesahihannya dan status Hazwan Bakri masih kekal sebagai pemain JDT hingga ke akhir musim ini.

Dengan pengalaman serta ketajaman dimiliki pemain itu, nescaya skuad Harimau Malaya juga enggan kehilangan 'permata' yang pernah melonjakkan nama negara satu ketika dahulu dan tidak keterlaluan untuk peminat memasang impian menyaksikan pemain itu kembali menyarung jersi kebangsaan pada masa akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram