
SURIA FM mengumumkan Kai Hassan, 28, sebagai penyampai radio baharu bagi menggantikan Shuib menerusi segmen Morning Morning Suria bermula Selasa.
Kai Hassan atau nama sebenar Abdul Karim Hassan yang sebelum ini merupakan penyampai stesen Molek FM di bawah naungan Media Prima Audio (MPA), akan meneruskan gandingan trio bersama Ajak dan Suraya yang pastinya satu gabungan yang dinanti-nantikan pendengar setia Suria FM.
Memulakan tugas sebagai penyampai radio di Suria FM bermula 12 Disember 2023 (Selasa), Kai Hassan akan ke udara bersama barisan penyampai di segmen Morning Morning Suria, Gaya Suria, Suria Petang, dan Suria Cinta.
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, kemasukan Kai Hassan sebagai penyampai baharu diyakini akan membawa impak positif dan di peringkat awal ini, Kai akan diberikan pendedahan serta pengalaman untuk mengendalikan semua segmen utama di Suria FM, iaitu Morning Morning Suria, Gaya Suria, Suria Petang dan Suria Cinta.
"Diharapkan dengan kemasukan Kai Hassan sebagai antara tonggak utama barisan penyampai Suria FM, mampu membawakan peningkatan dalam mengukuhkan lagi pasukan kami pada 2024," katanya.
Dalam pada itu, DJ Lin turut mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada Kai di atas kesudiannya untuk bergabung dan menjadi sebahagian daripada keluarga Suria FM sekali gus mengharapkan perubahan ini mampu meningkatkan lagi kualiti stesen radio Suria.
Kai Hassan diumumkan sebagai penyampai radio baharu di Suria FM.
Untuk rekod, kerjasama selebriti terkenal Shuib dan Suria FM hanya mampu bertahan selama 15 bulan selepas khidmatnya bersama Morning Morning Suria berakhir pada minggu lalu.
Penamatan perkhidmatan tersebut adalah disebabkan Shuib yang mahu menumpukan sepenuh komitmen terhadap perniagaannya yang semakin berkembang.
Meskipun memutuskan untuk keluar dari Suria FM, DJ Lin berharap masih ada kerjasama lain di masa akan datang dengan menggunakan pelbagai inisiatif bersama pelawak tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram