Beri 'restu' Menteri Kewangan II pilihan PM Anwar, 2 mesej jelas jadi harapan rakyat


  • Massa
  • Selasa, 12 Dis 2023

Anwar Ibrahim ketika mengumumkan barisan kabinet baharu pada sidang media di Putrajaya pada Selasa. — Bernama

ROMBAKAN Kabinet Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menyaksikan seramai lima menteri baharu dilantik bagi menerajui beberapa kementerian.

Antara yang paling mencuri tumpuan adalah pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang diberikan mandat selaku Menteri Kewangan II di bawah Anwar Ibrahim.

Perkara itu dilihat sebagai situasi baharu yang mampu membawakan perubahan dalam landskap Kerajaan Madani susulan jawatan tersebut antara yang terbesar dan memainkan peranan penting dalam hal pembabitan ekonomi negara ketika ini.

Bertitik tolak daripada itu, rakyat melihat ia sebagai langkah terpuji diambil Anwar Ibrahim yang dijangka mahu memfokuskan lebih tumpuan ke arah bantuan serta isu lain dihadapi rakyat berbanding jatuh susut ekonomi negara semata-mata.

nc

Amir Hamzah Azizan dilantik sebagai Menteri Kewangan II dalam rombakan kabinet baharu Kerajaan Madani. — Bernama

Dengan pembahagian serta pecahan tanggungjawab Menteri Kewangan bersama Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd itu, Anwar Ibrahim diyakini mempunyai lebih masa untuk menyelesaikan kemelut kos sara hidup tinggi yang dihadapi rakyat ketika ini.

Seolah-olah memberi restu terhadap pelantikan jawatan menteri tersebut, masyarakat Malaysia menyeru agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim lebih fleksibel untuk mengatasi kesusahan rakyat selepas ini.

"PMX merangkap menteri kewangan sibuk dengan tugasan lain, sukar untuk beliau fokus dengan hal rakyat jika masih memegang jawatan itu berseorangan, dah ada pembantu sekurang-kurangnya Anwar ada masa untuk kaji hal kos sara hidup rakyat," kata Samad Rahim.

"Selepas ini, harap Perdana Menteri tumpukan dulu kos sara hidup rakyat yang semakin mahal sekarang, rakyat semakin tertekan dibuatnya," ujar Lutfi Amir.

"Tak salah pun Anwar ada pembantu, yang penting kerjasama dan selalu utamakan rakyat melebih daripada segalanya," tambah Yahmeen Yadi.

Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Maslan yang sebelum ini memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri Kewangan I, kini ditukarkan kepada Timbalan Menteri Kerja Raya.

Lantang bersuara dalam Dewan Rakyat sebelum ini, beliau antara yang paling mencuri tumpuan masyarakat selepas daripada pengumuman rombakan kabinet oleh Anwar Ibrahim.

Dengan jawatan baharu itu, rakyat mensasarkan pembaikan permukaan jalan raya dan isu kemalangan akan berkurangan selepas pelantikan beliau dibuat.

f406f0ef39e64e5d14ad44238eb5bbf8

Ahmad Maslan diberikan tanggungjawab selaku Timbalan Menteri Kerja Raya. — Bernama

Jalan raya khususnya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang masih lagi terpencil dan kurang kemudahan dari segi infrastruktur dan pembangunan, digesa supaya ditangani segera Ahmad Maslan.

"Harapnya dengan jawatan baharu yang disandang Ahmad Maslan selepas ini, mampu memberikan pulangan baik kepada rakyat di kawasan pedalaman," kata Syahmie Mior.

"Menteri Kerja Raya memang tumpuan rakyat, tak banyak yang dipinta cuma bantu jalankan penyelenggaraan secara berkala di kawasan terpencil, jalan berlubang dan rosak memang meyukarkan perjalanan ramai," tambah Izureen Zau.

Malah, ada juga berpendapat bahawa kadar kemalangan mampu diatasi sekiranya pihak berwajib ataupun menteri telus dalam menjalankan kerja pembaikan jalan raya terlebih dahulu.

Dalam rombakan Kabinet kali ini, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar pula merupakan satu-satunya menteri yang digugurkan bersama dua timbalan menteri lain iaitu Ramkarpal Singh Karpal Singh dan Datuk Seri Aminah Aching.

Selain itu, terdapat beberapa perubahan portfolio berlaku pada rombakan Kabinet kali ini termasuklah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang sebelum ini merupakan Menteri Pertahanan; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang sebelum ini Menteri Pendidikan Tinggi; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang sebelum ini Menteri Luar; Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang sebelum ini Menteri Kesihatan; selain beberapa kementerian baharu iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam) serta Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Menteri Komunikasi).

Pada masa sama, Datuk Armizan Mohd Ali (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) pula mengisi kekosongan ditinggalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dan memangku kementerian berkenaan selepas kematian mengejut Salahuddin pada Julai lepas. Rombakan itu menyaksikan Armizan bertukar portfolio daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak serta Tugas-Tugas Khas).

Semua menteri yang terbabit dengan rombakan Kabinet itu dijadualkan mengangkat sumpah jawatan dan simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Majlis Penyerahan Surat Cara Pelantikan dan Majlis Angkat Sumpah Menteri-Menteri Persekutuan di Istana Negara pada pukul 2.30 petang Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram