Kes Zayn Rayyan: Polis beri amaran, sesiapa kongsi berita palsu boleh dijel


  • 112
  • Sabtu, 09 Dis 2023

Individu menyebarkan berita palsu berkaitan kematian Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin (dua dari kiri) bakal berdepan tindakan polis.

INDIVIDU yang menyebarkan berita palsu berhubung kes pembunuhan melibatkan Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, berisiko dipenjarakan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menggunakan kemudahan rangkaian untuk menghantar komunikasi yang dianggap menyinggung perasaan atau boleh menyebabkan kegusaran kepada orang lain.

"Jangan kongsi atau sebarkan apa-apa maklumat yang belum disahkan.

"Kami tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang sengaja melanggar undang-undang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan semula sebagai pembunuhan berikutan bedah siasat pada 7 Disember lepas, yang mendedahkan mangsa mengalami kecederaan di leher.

Zayn Rayyan yang merupakan kanak-kanak autisme, ditemui mati kira-kira 34 jam selepas dilaporkan hilang.

Mayatnya ditemui di sungai berhampiran rumahnya dekat Pangsapuri Idaman di Damansara Damai, Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 10 malam Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada sidang media pada Khamis malam berkata, bedah siasat mendapati mangsa mengalami kesan kecederaan di leher serta beberapa luka di tempat lain.

Tambahnya, bedah siasat mendapati bahawa mangsa berkemungkinan meninggal dunia dalam tempoh 48 jam selepas mayatnya ditemui.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Polis Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Deputi Superintendan Muhammad Yusof Ahmad di talian 013-976 0019, Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Mohd Hafizwe Ismail di talian 013-358 7571 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin di talian 017-531 6415. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram