KELIBAT pemain versatil Johor Darul Takzim (JDT), Syamer Kutty Abba semakin berkurangan dalam saingan Liga Super Malaysia musim ini.
Meskipun kerap mendapat panggilan kem latihan Harimau Malaya dan merupakan antara tonggak utama yang disenaraikan jurulatih Kim Pan-gon dalam siri persahabatan Jun lalu, penyerang kelahiran Pulau Pinang itu hanya mencatatkan sebanyak lapan penampilan bersama JDT bagi musim 2023.
Ia dilihat sebagai satu situasi yang tidak menyebelahi pemain tersebut selepas aksi memukau dipamerkan bersama skuad kebangsaan, sewajarnya dia diberikan lebih peluang untuk beraksi bersama kelabnya terutama di perlawanan peringkat Asia.
Perkara itu berbalik kepada lambakan penyerang import atau tempatan lain yang lebih mendapat tempat di hati jurulatih Estaban Solari sehinggakan terpaksa mengetepikan 'permata' pasukan kebangsaan itu.
Natxo Insa, Afiq Azmi, Shio Hong Wan dan Endrick dos Santos lebih kerap diturunkan dalam perlawanan JDT sekali gus membuatkan nama Syamer Kutty semakin dilupakan dalam pasukan Harimau Selatan.
Syamer Kutty hanya memperoleh lapan penampilan bersama JDT pada musim ini. — Facebook/JDT
Bertitik tolak dari situ, penyokong mula melihat ia sebagai satu detik yang sesuai sekiranya pemain itu berhijrah ataupun dipinjamkan ke pasukan lain pada musim depan.
Ia bertujuan bagi mengembalikan keyakinan diri serta memberikan lebih minit permainan buat pemain berusia 26 tahun itu.
Perak FC antara yang paling hangat diperkatakan sebagai destinasi sesuai buat individu itu untuk terus mengorak langkah jauh dalam arena bola sepak negara.
Dengan peningkatan dipamerkan skuad Seladang sejak diambil alih Yusri Che Lah pada pertengahan musim ini, menguatkan lagi stigma peminat berhubung pemindahan pemain itu ke kelab tersebut.
Baca juga: Terlepas gelaran 'top scorer', sifat tamak antara kelemahan ketara 'budak nakal' JDT
Kelincahan dimiliki penyerang muda itu dijangka mampu menggerakkan jentera tengah pasukan Seladang yang nyata memiliki kelebihan di bahagian serangan hadapan pada musim ini.
Malah, bayangan trio yang cuba direalisasikan peminat menerusi kemasukan Syamer Kutty, mampu dijelmakan menerusi gandingan Firdaus Sayadi dan Luciano Guaycochea di bahagian tengah pasukan.
Luciano Guaycochea (kiri) merupakan antara tonggak utama skuad Seladang musim ini. — Facebook/PerakFC
Seorang penyokong setia Perak dikenali sebagai Amir Syamsuri berpendapat bahawa kehadiran Syamer Kutty ke skuad Seladang merupakan satu kepuasan sekiranya ia menjadi realiti.
"Memang puas hati kalau Syamer masuk ke Perak, dia boleh bermain di pelbagai posisi dan yang paling penting, masih muda untuk disimpan dalam beberapa tahun lagi," katanya.
"Syamer Kutty boleh main tengah dengan Firdaus Sayadi dan Luciano, memang laju tempoh permainan kita lepas ini, peledak tinggal tunggu bola untuk terus rembat masuk gol," ujar Hisyam Kafar.
"Sayang kalau Malaysia ada pemain berbakat tapi disimpan macam itu sahaja, di JDT terlalu ramai saingan dia maka lebih elok dipinjamkan ke Perak, sekurang-kurangnya dia boleh buktikan sesuatu," tambah FazrulJasni.
Kepincangan skuad Perak pada musim ini dilihat berpunca akibat ketandusan pemain versatil yang mampu mendominasi perlawanan dari setiap sudut posisi khususnya di bahagian serangan.
Dengan kelebihan skil serta kerajinan dimiliki Syamer Kutty, ia antara ciri penting yang perlu ada dalam mana-mana pasukan khususnya untuk mengawal tempoh permainan pasukan.
Maka dengan pilihan penyokong yang rata-ratanya mahukan pemain itu menyarung jersi Sang Seladang pada musim depan, sekurang-kurangnya status pemain pinjaman juga memadai untuk Syamer Kutty diberikan peluang kembali dengan gaya serta aksi memukau di bawah kendalian Yusri Che Lah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram