Pemain tercengang dilayangkan kad merah gara-gara minta ditukar akibat kecederaan


  • Podium
  • Ahad, 10 Dis 2023

Pengadil melayangkan kad merah kepada Milovanov yang dilihat terpinga-pinga dengan keputusan berkenaan. — SportBible

SEORANG pemain pertahanan di kelab Portugal, Arouca dilayangkan kad merah selepas pengadil berasakan tindakannya untuk duduk di atas padang sengaja melewatkan perlawanan.

Bagaimanapun, keputusan tersebut jelas menimbulkan 1,001 tanda tanya apabila bek kanan itu berbuat demikian akibat isu kecederaan dialaminya.

Bogdan Milovanov yang beraksi ketika aksi menentang Boavista awal Disember lalu dilihat mengalami kecederaan pada separuh masa kedua permainan.

Jadi, pemain kelahiran Ukraine itu memilih untuk duduk di atas padang sambil memberikan isyarat ke arah bangku simpanan pasukan supaya mengeluarkannya.

Namun, pengadil perlawanan, Tiago Martins mengarahkannya untuk bangun dan meneruskan perlawanan meskipun pemain 25 tahun itu kelihatan menahan kesakitan.

Milovanov kemudiannya beberapa kali meminta supaya permainan dihentikan untuk membenarkan pertukaran pemain dapat dilakukan pengurus Arouca FC, Daniel Sousa.

Bagaimanapun, permintaannya itu terus diendahkan sebelum pertahanan berkenaan dilayangkan kad kuning kedua sebelum menyaksikannya terpaksa meninggalkan padang pada minit ke-49 permainan.

Keputusan tersebut menyebabkan Milovanov mempersoalkan tindakan Martins dengan pihak kejurulatihan di zon teknikal turut mempertikaikannya.

Berdasarkan laporan media Portugal, keputusan pengadil adalah tepat kerana badan pengadilan berasakan pemain itu dengan sengaja melengahkan perlawanan.

Ia sekali gus menyaksikan penggantungan satu perlawanan dikenakan terhadap Milovanov tidak akan ditarik balik selepas penilaian dibuat.

Layangan kad merah terhadap pemain tersebut bagaimanapun tidak memberikan impak terhadap permainan Arouca FC apabila mereka mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas Boavista.

Kejayaan mereka untuk mengutip tiga mata penuh itu sedikit sebanyak memberikan peluang untuk menambah baik kedudukan dalam saingan Liga Portugal dengan mereka kini berada di dasar carta liga. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram