[VIDEO] Jojo cipta nama lagi, hanya perlu 36 saat untuk tundukkan Edgar Tabares


  • Podium
  • Sabtu, 09 Dis 2023

Reputasi Johan sebelum ini melonjak selepas ditawarkan kontrak bernilai RM476,000 selepas menundukkan atlet Muay Thai dari Rusia.

JAGUH muay thai muda negara, Johan Ghazali Zulfikar sekali lagi mencuri tumpuan apabila hanya memerlukan 36 saat untuk menumbangkan lawannya dari Mexico, Edgar Tabares.

Dia yang juga terkenal dengan gelaran Jojo menewaskan pesaingnya itu secara knockout (KO) dalam pertembungan kategori catchweight MuayThai Primetime US, ONE Championship di Bangkok, Thailand pada Sabtu.

Lawannya yang berusia 29 tahun itu pada awalnya memberi tentangan kepada atlet muda negara tersebut, namun Johan berjaya membalasnya dengan lima serangan balas.

Serangan bertali-arus daripada Johan jelas tidak dapat disaingi Tabares apabila tumbukan yang tepat mengenai wajahnya sebelum membuatnya terduduk menahan kesakitan.

Keputusan pengadil untuk mengesahkan kemenangan atlet dari Sarawak itu menyaksikannya tidak dapat menahan kegembiraan sambil memberi penghormatan terhadap lawannya itu.

"Sejujurnya, kami sudah menjangkakan akan berlakunya KO pada pusingan pertama atau selewat-lewatnya pada pusingan ketiga. Jadi, selepas saya membuat tumbukan pertama, saya nampak Tabares sudah berdepan kesukaran," katanya.

Kemenangan tersebut sekali gus menaikkan lagi nama atlet muay thai berusia 17 tahun berkenaan yang mula menempa nama dalam seni mempertahankan diri terbabit.

Johan sebelum ini mencipta sejarah apabila ditawarkan kontrak bernilai RM467,000 (AS$100,000) setelah menumpaskan lawannya dari Rusia, Temirlan Bekmurzaev secara KO dalam ONE Championship Thailand. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram