Selangor mula siapkan diri untuk Asia, sedia risik 'kereta kebal' dari Uzbekistan


  • Podium
  • Sabtu, 09 Dis 2023

Skuad Gergasi Merah perlu membuat persiapan lebih rapi untuk bersaing dalam saingan peringkat Asia musim depan. — Facebook/Selangor FC

KEJAYAAN Selangor FC untuk muncul sebagai naib juara Liga Super 2023 sekali gus mengesahkan tiket mereka untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 pada musim akan datang.

Mereka yang kini sudah mengumpul 58 mata daripada 25 perlawanan memiliki rekod cukup baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Namun, cabaran lebih besar di pentas Asia sememangnya menjadi satu petanda buat kelab dari Lembah Klang itu untuk memperkukuhkan skuad ketika jendela perpindahan akan datang.

Antara yang pastinya menjadi tumpuan pihak pengurusan adalah dari segi pertahanan memandangkan barisan pemain dimiliki ketika ini tidak begitu meyakinkan.

said

Shahrul Nazeem merupakan pemain pertahanan yang masih kurang berpengalaman.

Shahrul Nazeem Zulpakar dan Harith Haiqal Adam Afkar dilihat begitu muda sementara Safuwan Baharuddin yang berusia dikhuatiri tidak akan dapat memberi prestasi diperlukan dalam saingan ACL2.

Selain itu, kehilangan bek tengah import, Yazan Al-Arab turut memberi ruang buat pasukan tersebut mendapatkan seorang lagi pemain luar negara untuk musim akan datang.

Jadi, dalam mengesahkan hasrat itu, Selangor FC dikatakan sudah mula mengorak langkah apabila mereka mula dikaitkan dengan seorang bek tengah import baharu.

Pemain merangkap kapten kelab Uzbekitsan, FC Nasaf, Umarbek Esmurodov mula dikaitkan dengan skuad Gergasi Merah menerusi satu hantaran di laman Instagram @legioner_tvfk.

ujmar

Umarbek merupakan kapten FC Nasaf yang kerap bersaing di peringkat Asia

Berita tersebut kemudiannya terus mencuri perhatian ramai memandangkan Selangor FC jarang mendapatkan seorang import dari Asia Barat.

Tidak cukup dengan itu, pengalaman Umarbek dalam kariernya dalam saingan di peringkat tertinggi menjadikannya sebagai calon ideal untuk mengukuhkan lagi benteng pertahanan skuad Gergasi Merah.

Selain itu, rekodnya yang cemerlang dari segi kutipan trofi turut memberansangkan dengan dia sudah menjuarai empat gelaran Piala Uzbek dan Piala Sumbangsih Uzbek sekali.

Untuk rekod, Selangor FC mempunyai rekod pertahanan kedua terbaik dalam Liga Super musim ini apabila mereka hanya dibolosi 21 kali setakat 25 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram