KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama syarikat produk pengguna, Kotex mengambil inisiatif baharu dengan memperkenalkan pasukan Mobile Legend: Bang Bang (MLBB) wanita tempatan yang pertama.
Kotex Elimin8tors yang dibarisi lima pemain wanita dipersiapkan untuk bersaing dalam Liga Profesipnal MLBB Malaysia bagi musim ke-13 (MPL MY S13) akan datang.
Ia menjadi satu suntikan berbeza buat pertandingan berkenaan yang sememangnya dikuasai pemain lelaki sejak bermusim-musim lamanya.
Bagaimanapun, penyertaan mereka pastinya akan dipandang remeh pelbagai pihak dengan permainan video terbabit kurang diberi perhatian golongan wanita.
Namun, bagi jurulatih Kotex Elimin8tors, Ariff Iswandi Johar, sinar yang ditunjukkan daripada pemain pada peringkat awal memberi bayangan mengenai kemampuan masing-masing.
Pengalaman Amoux dalam sukan MLBB secara profesional memberi kelebihan buat Kotex Elimin8tors.
"Pada saya, selama mana mereka percaya terhadap diri sendiri, saya juga akan memberikan yang sepenuhnya untuk para pemain.
"Selain itu, saya juga berasakan tiada perbezaan dari segi jantina dalam permainan video kerana ia memerlukan pemikiran yang kreatif dan kritis," katanya kepada Majoriti.
Ariff yang juga dikenali sebagai Amoux berkata demikian semasa majlis pelancaran Kotex Elimin8tors di SpaceRubix, Puchong, Selangor pada Khamis.
Program pelancaran berkenaan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Pengarah Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia, Arvin Iyer.
Tambah Amoux lagi, pengalamannya sepanjang beberapa tahun dalam MLBB secara profesional memberi bayangan bahawa pasukan wanita tidak berdepan masalah besar untuk bersaing.
Barisan pemain dan staf kejurulatihan Kotex Elimin8tors yang diumumkan pada Khamis. — Majoriti
"Saya lihat wanita lebih memberikan perhatian terhadap perkara kecil, jadi memang ada perbezaan besar setiap kali sesi latihan jika dibandingkan dengan pasukan lelaki.
"Walaupun baru sahaja dua minggu berlatih bersama mereka, mereka sudah pamerkan penambahbaikan lebih baik sehingga kadang-kadang saya terkejut akan kebolehan masing-masing," katanya.
Pengalaman Amoux yang pernah membantu Todak berada di tempat ketiga Kejuaraan M1 pastinya menjadi suntikan buat pasukan baharu berkenaan.
Kotex Elimin8tors dibarisi lima pemain perempuan muda, iaitu Nurul Effa Fauzana (Fafau), Siti Sarah (Ecstatic), Intan Syafinaz (Intan), Afrina Balqis (Rina) dan Nurul Ain Salshabilla (Beyya). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram