Ref final Piala Malaysia didakwa tidak berstatus FIFA, pernah buat LTK, Hodak bengang


  • Podium
  • Sabtu, 09 Dis 2023

Logeswaran (baju hijau) membuat beberapa keputusan meragukan sepanjang final Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC pada Jumaat. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JOHOR Darul Takzim (JDT) mencatatkan kemenangan bersejarah apabila menumpaskan Terengganu FC 3-1 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dua penalti yang masing-masing disempurnakan Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi serta jaringan Feroz Baharudin memastikan skuad Harimau Selatan menjuarai empat kejohanan domestik sepanjang 2023.

Meskipun lawan mereka turut menjaringkan gol menerusi penalti Ivan Mamut, kualiti dimiliki jaguh bola sepak tanah air itu sememangnya tidak dapat dipertikaikan.

Namun, kemenangan JDT itu dilihat tidak mendapat perhatian ramai apabila mereka dilihat lebih tertarik untuk membicarakan mengenai mutu pengadilan.

Pengadil perlawanan, S Logeswaran dikatakan kerap memberikan keputusan meragukan dengan perkara itu turut dipersoalkan beberapa bekas pemain, termasuk Safee Sali.

WhatsApp Image 2023-12-09 at 16.54.39

Bergson mudah menyempurnakan penalti untuk meletakkan JDT di hadapan pada awal permainan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Antara yang diberikan perhatian adalah keputusannya untuk memberikan sepakan penalti kepada JDT pada awal permainan selepas asakan dibuat Azam Azmi Murad terhadap Fernando Forestieri dilihat kurang meyakinkan.

Situasi tersebut menyaksikan peminat bola sepak tanah air bertindak mengecam kredibiliti Logeswaran dengan ada daripada mereka meluahkan rasa kecewa mereka di laman media sosial.

Malah, sebilangan yang lain turut membuat penyelidikan tersendiri lebih mendalam dengan cuba untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai status lesen pengadil terbabit.

Berdasarkan hasil carian masing-masing, mereka mendapati bahawa Logeswaran bukanlah seorang pengadil yang berdaftar di bawah badan induk bola sepak antarabangsa, FIFA di laman sesawang digitalhub.fifa.com.

WhatsApp Image 2023-12-09 at 16.57.00

JDT menjuarai Piala Malaysia selepas menumpaskan Terengganu FC dengan keputusan 3-1. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Berdasarkan senarai, hanya enam pengadil kebangsaan, sembilan pembantu pengadil, empat pengadil futsal dan dua pengadil bola sepak pantai.

Situasi tersebut sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keputusan untuk meletakkan Logeswaran sebagai pengadil dalam aksi cukup berprestij itu.

Malah, namanya sebelum ini juga pernah menjadi bahan bualan ramai dengan mutu persembahannya ketika aksi antara KL City FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 2021, sekali gus membangkitkan kemarahan pengendali skuad warga kota ketika itu, Bojan Hodak.

Mutu pengadilan Logeswaran juga pernah menimbulkan rasa kurang senang daripada bekas ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim yang mahu perlawanan lebih adil dalam arena bola sepak tanah air.

Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan JDT mencipta rekod sebagai pasukan pertama menjuarai kesemua empat trofi domestik untuk dua musim berturut-turut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram