KEMENANGAN 3-1 direkodkan Johor Darul Takzim (JDT) ke atas Terengganu FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 pada Jumaat menulis satu sejarah baharu sepanjang tempoh penubuhan kelab.
Kejayaan tersebut menyaksikan mereka muncul sebagai pasukan tanah air pertama menjuarai empat kejohanan domestik semusim untuk tahun kedua berturut-turut.
Jadi, untuk meraikan pencapaian tersebut, kerajaan negeri Johor mengumumkan cuti khas peristiwa pada 17 Disember yang turut meraikan kejayaan JDT mempertahankan gelaran Liga Super untuk tahun ke-10 berturut-turut.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Azmi Rohani berkata, pengumuman cuti peristiwa itu juga bersempena kejayaan skuad Harimau Selatan mencipta sejarah gemilang buat bola sepak negeri tersebut.
Azmi mengumumkan bahawa satu sambutan akan diadakan sempena kejayaan bersejarah JDT tahun ini.
“Justeru itu, pada pukul 8.30 malam, 16 Disember ini akan diadakan sambutan bagi meraikan peristiwa bersejarah tersebut di Stadium Sultan Ibrahim, Johor selepas perlawanan menentang Penang FC.
“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengisytiharkan 17 Disember ini, iaitu hari Ahad sebagai Hari Cuti Khas Peristiwa bagi seluruh rakyat negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Azmi berkata, keputusan pengisytiharan Cuti Khas Peristiwa itu adalah selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369).
Samsuri menafikan pengumuman bahawa kerajaan negeri Terengganu akan memberikan cuti peristiwa khas pada Ahad.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan kerajaan negeri Terengganu mengumumkan cuti peristiwa pada Ahad (10 Disember) seperti tular di media sosial.
"Berlegar-legar poster lama yang diedit (disunting) tentang cuti peristiwa pada esok, Ahad 10 Disember 2023.
"Untuk makluman, tiada cuti peristiwa diumumkan oleh kerajaan negeri,” katanya dalam laman sosial Facebook peribadinya pada Sabtu.
Pada Jumaat, Samsuri turut hadir untuk menyaksikan perlawanan tersebut bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan beberapa tetamu kehormat yang lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram