'JDT tak perlu masa tambahan untuk menang Piala Malaysia'


  • Podium
  • Selasa, 05 Dis 2023

Wan Jamak melihat kualiti dimiliki skuad Harimau Selatan musim ini sukar untuk dipertikaikan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PERTEMBUNGAN paling dinantikan musim ini pastinya adalah aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat ini.

Kejayaan kedua-dua pasukan dalam mengesahkan slot ke perlawanan akhir sememangnya tidak boleh dipandang rendah orang ramai setelah masing-masing mudah menepis segala cabaran.

Kelebihan dilihat sememangnya berpihak kepada skuad Harimau Selatan yang sukar digugat musim ini dengan tiga trofi sudah berjaya berada dalam dakapan mereka.

Tidak cukup dengan itu, rekod pertembungan kedua-dua pasukan menyaksikan JDT meraih kemenangan 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor dan 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

Sokongan terhadap skuad kendalian Esteban Solari turut diberikan pemerhati bola sepak tanah air, Wan Jamak Wan Hassan yang berpandangan mereka akan mudah mendakap Piala Malaysia 2023.

53910526_2555423187861303_8263262952879030272_n

Wan Jamak merupakan individu penting ketika Johor FA menjulang Piala Malaysia 1985.

“Saya buat ramalan ini bukan sebab saya orang Johor dan juga bekas pemain Johor. Memang banyak bezanya antara ‘zaman saya’ dengan zaman sekarang ni.

“Bagi saya, tiada masalah untuk JDT mengatasi TFC, tetapi sesiapapun tidak boleh memperkecilkan TFC kerana di atas kertas kelebihan miik JDT, tetapi TFC pasti akan keluar bermain rasanya bukan 100 malah 200 peratus," katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.

Wan Jamak sebelum ini pernah membantu Johor FA menjulang Piala Malaysia 1985 dengan dia ketika itu merupakan pembantu jurulatih.

Ia juga pastinya satu kenangan sukar dilupakan buat penyokong pasukan Selatan tanah air tersebut kerana ia merupakan kali pertama mereka menjuarainya.

Tambah Wan Jamak lagi, beberapa faktor lain juga akan membantu JDT muncul sebagai pemenang dengan salah satu daripadanya merupakan jumlah perlawanan berintensiti tinggi dihadapi mereka.

Terengganu FC bagaimanapun dilihat tidak akan mensia-siakan aksi penting berkenaan memandangkan mereka masih menunggu untuk menamatkan penantian menjulang trofi selepas kali terakhir mencapainya pada 2011. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram