DOMINASI yang ditonjolkan oleh Johor Darul Takzim (JDT) dalam bola sepak Malaysia tidak lagi dapat dinafikan oleh mana-mana pasukan.
Saban musim, mereka sentiasa berjaya mempamerkan kualiti bola sepak hebat sambil himpunan barisan pemain berstatus bintang berjuang untuk Harimau Selatan seperti Arif Aiman, Fernando Forestieri dan Syihan Hazmi.
Untuk musim 2023, JDT telah berjaya mengesahkan dua kejuaraan domestik iaitu Liga Super dan Piala FA. Harimau Selatan berpeluang untuk mendakap piala ketiga iaitu Piala Malaysia seandainya berjaya menewaskan Terengganu FC dalam aksi akhir pada Jumaat.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau Tunku Mahkota Johor (TMJ) semestinya berasa gembira dan bangga apabila pelaburan yang dilakukan membuahkan hasil.
TMJ mengatakan usaha kerasnya membangunkan JDT berjaya direalisasikan kerana ia bukanlah sekadar cakap kosong atau menabur janji yang tidak boleh ditunaikan.
"Tetap chill dan tiada bla bla bla. Tak pernah janji bulan dan bintang tetapi dari awal penubuhan hingga ke hari ini bermacam-macam piala (dicapai), pencapaian dalam dan luar padang. Alhamdulillah," kata TMJ menerusi laman Instagram.
TMJ juga mendedahkan yang dirinya telah mendapat mimpi indah buat Harimau Selatan. Katanya, TMJ bermimpi pasukan miliknya akan menjadi lebih kuat pada musim hadapan.
"Saya bermimpi pasukan (JDT) tahun depan mungkin kuat sedikit. (Tinggal) Tiga perlawanan lagi tahun ini, jangan lupa sambutan besar besaran sedekad kejuaraan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada 16 Disember," ujar TMJ lagi.
TMJ mungkin sedang memberikan 'hint' kepada penyokong JDT yang pasukan tersebut bakal menerima pemain baharu dalam usaha terus mengukuhkan cengkaman sebagai kuasa bola sepak Malaysia.
Setakat ini, sudah beberapa nama telah dikaitkan dengan JDT untuk musim depan namun belum ada perkembangan konkrit mengenainya.
Tiga perlawanan berbaki yang dimaksudkan TMJ itu adalah aksi bertemu Terengganu di Piala Malaysia, kunjungan Penang FC pada aksi terakhir liga serta pertemuan hidup mati JDT berdepan BG Pathum United dalam Liga Juara-Juara AFC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram