Mampu saingi Izham Tarmizi, 3 destinasi wajar jadi pilihan Rahadiazli


  • Podium
  • Selasa, 05 Dis 2023

Rahadiazli musim ini hanya tampil dalam enam perlawanan Liga Super. — Instagram/Abe

TERENGGANU FC (TFC) terpaksa menerima hakikat berkongsi satu mata bersama Penang FC selepas sepakan penalti Harimau Kumbang pada minit akhir masa kecederaan perlawanan yang berhasil disempurnakan oleh kapten pasukan, Rafael Vitor.

Sepakan penalti yang diberikan kepada pasukan Utara tanah air itu berpunca selepas kesilapan penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim meluru ke kawasan penalti dan merempuh pemain Penang FC, Nik Akif Syahiran sehingga mengakibatkan pengadil perlawanan menghukum skuad Sang Penyu.

Oleh itu, ramai penyokong Terengganu mula mempersoalkan sama ada penjaga gol berusia 22 tahun itu sudah bersedia untuk menggalas tugas sebagai penjaga gol utama pada musim depan ataupun bergilir menjalankan tanggungjawab sebagai benteng terakhir bersama Suhaimi Husin.

Dalam ramai mencaci, ada juga penyokong yang berpendapat bahawa kemerosotan Rahadiazli atau lebih dikenali sebagai Abe itu berpunca daripada cara pihak kejurulatihan dan pengurusan TFC menguruskan penjaga gol tinggi lampai berkenaan.

abe

Tangkap layar kesilapan yang dilakukan Rahadiazli semasa aksi menentang Penang FC pada Ahad.

Seperti yang diutarakan oleh pemerhati bola sepak Terengganu, Piang Shankly dalam laman media sosial miliknya, keyakinan Rahadiazli semakin menurun selepas jarang mendapat minit permainan dalam saingan liga.

"Dari musim lepas lagi, aku kurang setuju cara Terengganu handle Abe, terutamanya bila dia comeback dari kecederaan. Pernah menjadi salah satu penjaga gol terbaik tempatan. Selalu dapat call up dari KPG (Kim Pan-gon) dan Cho Jun-ho (jurulatih penjaga gol Malaysia) rate dia sangat tinggi.

"Tapi bila lama tak main, pastinya akan memberi kesan kepada confidence, performance dan progress dia. Terengganu kena cari jalan untuk bantu dia maksimumkan potensi dan performance dia. Dia ada pakej yang cukup-cukup baik untuk jadi top goalkeeper," tulisnya.

Namun, dengan situasi semasa yang menyaksikan Suhaimi masih menerajui posisi sebagai penjaga gol nombor satu Terengganu, Rahadiazli berkemungkinan sukar untuk mendapatkan tempat dan penghijrahan ke pasukan lain boleh jadi alternatif mengembalikan potensi sebenarnya.

Oleh itu, kali ini Majoriti membantu menyenaraikan tiga destinasi baharu yang boleh menjadi medan kebangkitan semula penjaga gol muda itu pada musim depan;

1) Negeri Sembilan FC

sikh izhan

Sikh Izhan musim ini tampil dalam 22 aksi Liga Super. — Facebook/NSFC

Negeri Sembilan FC (NSFC) diibaratkan sebagai nyawa kedua untuk penjaga gol yang semakin hilang tempat di kelab lama tapi ingin kembali menjadi salah satu penjaga gawang terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT), Syihan Hazmi antara contoh terbaik yang berani mengambil keputusan keluar daripada kepompong kelab Petaling Jaya City FC dan meraih minit permainan bersama skuad Jang Hobin Jang.

Selepas Syihan berhasil menjadi penjaga gol nombor satu tanah air, giliran Sikh Izhan Nazrel pula mencipta nama bersama skuad Jang pada musim ini dan kini pemain berusia 21 tahun itu dilabel sebagai permata baharu negara.

Rahadiazli boleh mengambil peluang mengisi posisi Sikh Izhan selepas penjaga gol itu dilaporkan akan kembali ke Selangor FC susulan tempoh pinjamannya selama semusim bersama Negeri Sembilan bakal tamat pada penghujung tahun ini.

2) Perak FC

yusri

Yusri mendedahkan akan mengambil penjaga gol baharu pada musim depan. — Facebook/PerakFC

Anak jati Terengganu itu boleh mencuba nasib bersama Perak FC pada musim depan apabila pengendali The Bos Gaurus (TBG), Yusri Che Lah memberi bayangan akan membawa masuk penjaga gol baharu pada saingan musim depan.

Yusri berkata, buat masa ini beberapa pemain telah dikenal pasti untuk dibawa masuk bagi menambah kekuatan khususnya bagi posisi penjaga gol, pertahanan dan serangan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia yang dijangka bermula April 2024.

Rahadiazli boleh menjadi antara calon utama untuk menjadi penjaga gawang skuad Seladang pada musim depan dan Perak sememangnya dikenali sebagai destinasi yang mencungkil bakat-bakat muda untuk menyinar di persada domestik.

Sekiranya Rahadiazli berhijrah ke Perak, pemain muda itu mengikut jejak langkah pemain tengah berasal dari Terengganu, Muhammad Azalinullah Mohammed Alias yang berhijrah ke TBG bagi menyelamatkan kariernya selepas tiada mana-mana pasukan menawarkan kontrak bermula enam bulan pertama tahun ini.

3) Sri Pahang FC

izham

Izham (kanan) menerima kritikan daripada penyokong Tok Gajah. — Facebook/SriPahangFC

Penjaga gol berketinggian 1.92 meter itu juga boleh menjadi wira buat Sri Pahang pada musim depan dengan menggantikan posisi Mohd Izham Tarmizi yang kini semakin kurang digemari oleh penyokong Tok Gajah berikutan beberapa kesilapan kecil dilakukannya.

Selain itu, penjaga gol berpengalaman berkenaan juga dijangka akan kembali ke majikannya, Harimau Selatan pada musim ini selepas tempoh pinjamannya selama semusim bersama Tok Gajah juga akan berakhir dalam masa terdekat ini.

Sekiranya Rahadiazli ke kem Sri Pahang, pemain itu akan membawa berita kegembiraan buat pengikut Tok Gajah yang rata-ratanya menginginkan penjaga gol muda untuk dipertaruhkan sebagai benteng terakhir kelab Pantai Timur berkenaan.

Walaupun Sri Pahang bukanlah pencabar liga buat masa ini, namun pasukan berkenaan boleh menjanjikan minit permainan dan pengalaman beraksi yang berbeza buat penjaga gol bawah 23 tahun negara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram