[VIDEO] Kecoh sehari sebelum PRK Kemaman, 2 wakil parti didakwa saling berbalah, cetus provokasi melampau


  • Politik
  • Sabtu, 02 Dis 2023

Tangkap layar insiden kekecohan didakwa tercetus akibat provokasi dari kedua-dua wakil parti yang bertanding pada PRK Kemaman pada Jumaat.

HARI terakhir Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman dicemari insiden keganasan apabila berlaku kekecohan membabitkan wakil kedua-dua parti Barisan Nasional (BN) dan PAS yang dirakam saling berbalah pada Jumaat.

Situasi itu dipercayai tercetus akibat provokasi dilakukan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh yang didakwa sengaja memberhentikan kenderaannya di tengah-tengah laluan jalan raya bagi menyambut himpunan penyokong yang berada di daerah Kemaman.

Perbuatan terbabit sekali gus mengundang kemarahan beberapa orang awam khususnya penyokong Pas yang kemudiannya tampil mengasari beliau selepas laluan trafik di situ dikatakan bertukar perlahan akibat perbuatan pemimpin Umno itu.

Dalam pada itu, insiden terbabit kian hangat apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Terengganu, Hanafiah Mat didakwa sengaja mencetuskan provokasi terhadap sekumpulan ahli Puteri Umno dan BN yang berhimpun di laluan terbabit.

Perbuatan beliau yang dirakam melambai tangan dan mentertawakan penyokong parti lawan, mengundang kemarahan segelintir pihak yang menganggap kedua-dua situasi tersebut sebagai satu tindakan yang memalukan dan mencemarkan nama baik pemimpin.

"Saya ada di situ, penyokong PAS sendiri ketuk kereta Dr Akmal dan nak bergaduh itu kenapa, paling tak tahan YB Dun Chukai provok kami di tepi jalan tanpa memikirkan keselamatan," kata mellyazizi.

"Memalukan betul, apabila pemimpin buat hal sehari sebelum pilihan raya, nak menang hati rakyat bukan begini caranya," ujar SallehHamim.

"Yang Dr Akmal itu berhenti tengah jalan dah kenapa, dia boleh turun dekat tempat lain sengaja buat provokasi tak tentu hala dah kenapa," tambah Asnaawi.

Untuk rekod, BN mempertaruhkan Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon untuk PRK Kemaman kali ini.

Beliau juga merupakan anak jati Kemaman dan sebelum ini pernah menghulurkan khidmat bakti kepada rakyat meskipun tidak memegang sebarang jawatan dalam politik.

Sementara itu, PAS pula meletakkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar bagi mengekalkan kedudukan parti di kerusi tersebut.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung hal itu setakat ini dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan hal terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram