Terjatuh ke landasan LRT, lelaki maut digilis di stesen Dato Keramat


  • 112
  • Sabtu, 02 Dis 2023

Anggota penyelamat mengeluarkan lelaki yang terjatuh di landasan di Stesen LRT Dato Keramat, Kuala Lumpur. — Ihsan bomba

SEORANG lelaki berumur 27 tahun maut akibat digilis tren Transit Aliran Ringan (LRT) selepas terjatuh ke atas landasan di stesen LRT Dato’ Keramat, Kuala Lumpur pada malam Jumaat.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Mohd Fabell Md Yasin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.05 malam dan terpaksa mendapatkan bantuan juruteknik LRT untuk menggerakkan tren kebahagian belakang bagi mengeluarkan mayat lelaki itu.

"Lelaki itu digilis di kedua-dua belah kaki dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak petugas kesihatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan pada Jumaat berkata, susulan kejadian itu, jadual perjalanan LRT Laluan Kelana Jaya terjejas, menyebabkan waktu menunggu yang lebih lama.

Menurutnya, perkhidmatan rel alternatif, termasuk perkhidmatan bas sokongan, telah diaktifkan bagi menyokong operasi.

"Pihak Rapid Rail akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat kejadian.

"Kami memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas akibat kejadian itu dan atas kelewatan tren malam ini (Jumaat),” menurut kenyataan tersebut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram