[VIDEO] Bukan Al Jazeera mahu jatuhkan Najib — Peguam


  • Massa
  • Sabtu, 02 Dis 2023

Tangkap layar peguam Muhammad Shafee Abdullah sebagai tetamu undangan dalam podcast Keluar Sekejap dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan.

PEGUAM terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa seorang wartawan Al Jazeera mempunyai agenda untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mendakwa ia tiada kena mengena dengan isu dalaman Al Jazeera, sebaliknya beliau mengemukakan nama individu wartawan yang dipercayai sudah beberapa kali cuba mencalarkan imej Najib Razak.

Perkara itu didedahkan menerusi program podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan.

Jelasnya, wartawan dikenali sebagai Mary Ann Jolley sebelum ini pernah cuba menumbangkan bekas pemimpin negara itu ketika dalam satu sesi temu bual yang sepatutnya membincangkan soal ekonomi negara.

"Saya rasa bukan Al Jazeera sebenarnya, tetapi ada seorang wartawan, Mary Ann Jolley yang telah pun agak berkali-kali cuba menjatuhkan Najib termasuk dalam satu temu ramah yang dia berjanji soalan yang akan dikemukakan adalah ekonomi semasa negara tetapi ia telah bertukar corak.

"Kita tahu yang Najib telah keluar dari sesi itu dan Mary Ann Jolley saya rasa fakta yang dikumpulkan adalah kebanyakannya bervariasi, ia bukan seorang wartawan yang biasanya mahukan kebenaran tertentu," katanya.

Menjelaskan secara lanjut, Muhammad Shafee yang juga peguam mewakili Najib dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata, perbicaraan kes Altantuya di Mahkamah Tinggi melibatkan tiga individu.

Jelasnya, dua orang yang terlibat dituduh sebagai pembunuh, manakala Razak Baginda didakwa sebagai rakan subahat dalam kes berkenaan.

"Kes Razak Baginda dibuang kerana tidak cukup bukti manakala bekas pegawai polis Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar dipanggil pembelaan mereka serta didapati bersalah.

"Sepanjang perbicaraan, nama Najib tak keluar langsung, kosong," katanya.

Berhubung kes pembunuhan Altantuya yang kembali hangat pada ketika ini, Muhammad Shafee dalam pada masa sama turut mempertikaikan kenapa kejadian tersebut dibangkitkan selepas kejatuhan Barisan Nasional. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram