Belum habis musim tapi Kpah dah ucap selamat tinggal kepada import Tok Gajah


  • Podium
  • Selasa, 28 Nov 2023

Kpah (depan) boleh diangkat sebagai wira utama skuad Tok Gajah musim ini melihat kepada jumlah jaringannya. — Facebook/Sri Pahang FC

SRI Pahang FC merupakan antara pasukan Liga Super yang banyak memberi kepercayaan terhadap pemain import untuk membantu kedudukan serta persembahan mereka sepanjang musim.

Penyerang kelahiran Liberia, Kpah Sherman serta bek tengah dari Australia, Michael Glassock merupakan antara yang sering diturunkan untuk setiap hari perlawanan.

Kepercayaan berkenaan membuahkan hasil apabila skuad Tok Gajah kini berada di tangga kelima Liga Super dengan hanya dua aksi berbaki.

Bagaimanapun, di sebalik pemain dimiliki mereka, masih terdapat sebilangan daripada mereka yang gagal memberikan impak seperti mana diharapkan.

Mereka yang hilang dalam bayang-bayang sendiri boleh dikatakan menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan penyokong yang mengharapkan kehadiran masing-masing mampu memacu Sri Pahang FC.

1992012

Lucas (depan) merupakan antara import mengecewakan Liga Super musim ini. Facebook/Sri Pahang FC

Antara yang boleh diletakkan dalam kategori tersebut ialah pemain import Brazil, Lucas Silva yang dibawa masuk dari Penang FC awal musim lalu.

Isu kecederaan dialaminya menyaksikannya lebih kerap memanaskan bangku simpanan sehingga memaksa Kpah Sherman untuk turun sebagai penyerang tunggal.

Situasi itu sedikit sebanyak mendesak pihak pengurusan kelab Pantai Timur berkenaan untuk menandatangani seorang lagi penyerang, Rafael Silva pada jendela perpindahan kedua sebelum ini.

Kehadiran rakan senegaranya berkenaan menyaksikan Lucas semakin dilupakan Fandi dengan dia hanya mengumpul lapan penampilan dalam semua perlawanan tanpa sebarang gol dicetak.

Jadi, perkara tersebut membangkitkan persoalan mengenai masa depan penyerang berusia 33 tahun berkenaan dalam Liga Super pada musim akan datang.

WhatsApp Image 2023-11-28 at 14.53.36

Tangkap layar daripada Instastory Kpah mengenai pemergian Lucas Silva.

Namun, tanda-tanya itu segera dijawab apabila Kpah memuat naik sekeping gambar yang mengucapkan selamat maju jaya terhadap pemain berkenaan.

"Selamat maju jaya, sahabatku. Semoga berjaya dalam perjalanan anda yang akan datang dan jaga diri. Kami akan merindui gaya profesional anda," tulisnya menerusi Instastory.

Hantaran tersebut disertakan dengan swafoto Lucas bersama tiga bagasi seakan-akan memaparkan pemain tersebut hampir meninggalkan negara.

Lucas kemudiannya menjawab ucapan maju jaya berkenaan dengan ia seakan-akan menceritakan hubungan baik masing-masing di dalam dan luar padang.

"Terima kasih sahabatku, anda adalah seorang yang cukup baik dan pemain yang hebat. Saya akan rindukan anda, kirimkan salam saya kepada keluarga anda," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram