Magis Akmal Rizal, 'trademark' Pahang jadi bualan aksi 'comeback' Harimau Kumbang baham Tok Gajah


  • Podium
  • Ahad, 26 Nov 2023

Penang FC berjaya menang ke atas Sri Pahang FC 3-2 di Stadium Bandaraya, Georgetown. — Facebook/Sri Pahang FC

PENGENDALI sementara Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mungkin hanya ada tiga perlawanan bersama-sama Harimau Kumbang tetapi dia tetap mahu berikan impak semaksimum mungkin terhadap pasukan.

Akmal berjaya untuk menyuntik semula semangat buat Penang yang merudum jatuh prestasi mereka musim ini apabila berjaya tampil menghasilkan persembahan cemerlang bertemu Sri Pahang FC pada Sabtu.

Gerakan permainan menyerang yang berkualiti nyata menghiburkan penyokong, namun kualiti penyudah sedikit mengecewakan.

Akan tetapi, mereka berhasil mendapatkan kemenangan 3-2 di Stadium Bandaraya, Georgetown. Lebih menarik, dua daripada tiga gol terhasil oleh Harimau Kumbang disumbangkan oleh penyerang import Abdul Abdeen.

Dua gol Abdeen begitu siginfikan kerana membantu Penang kembali bangkit sebanyak dua kali selepas Sri Pahang berjaya mendahului menerusi gol Rafael Silva dan Syazwan Andik.

Gol daripada pemain skuad Piala MFL Penang, Izzat Zikri menerusi satu voli dari luar kotak penalti berjaya menghadiahkan tiga mata untuk Harimau Kumbang.

Lebih manis, ini adalah kemenangan pertama Penang selepas kali terakhir diraih pada bulan Julai yang lalu menewaskan Kelantan FC 4-3.

Bagi penyokong, corak permainan yang dibawa Akmal seolah magis kerana berjaya mengubah prestasi Harimau Kumbang.

"Nampak corak permainan ada perubahan sikit," kata penyokong bernama Muhammad Fariz.

"Sedap perlawanan ni, nampak perubahan dalam permainan pasukan," ujar Yus Hanamichi.

"Tu dia terus Abdeen boleh jaringkan gol," komen Lah Muhammad Arshad.

Bagi penyokong Sri Pahang, mereka nyata kecewa dengan keputusan yang diraih oleh pasukan mereka.

Penyokong Tok Gajah jelas tidak gembira dengan corak permainan perlahan yang ditampilkan oleh skuad Fandi Ahmad dalam kekalahan mereka terhadap Penang.

"Main slow dah jadi trademark Sri Pahang, yes!," kata penyokong bernama Zaidy Dee.

"Semoga musim depan, Sri Pahang main macam ni lagi. Mungkin boleh pecahkan rekod (bolos) Kelantan," ujar Saiful Konohar.

"Korang lepas ni buat yang terbaik. Pantas! Pantas! Pantas!," komen Nasrah Nas Abu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram