Coach lama kongsi mesej sebelum Izzat Zikri ledak gol cantik berdepan Tok Gajah


  • Podium
  • Isnin, 27 Nov 2023

Izzat dilihat cukup berpuas hati dengan gol peribadinya dalam penampilan pertama pemain itu dalam Liga Super. — Facebook/Penang FC

SETELAH beberapa bulan mencatatkan keputusan mengecewakan, Penang FC akhirnya meraih kemenangan ketika aksi ke-24 Liga Super berdepan Sri Pahang FC di laman sendiri pada Ahad.

Dua gol daripada penyerang import, Abdul Abdeen Temitope menyaksikan skuad Harimau Kumbang sudah berubah tidak lama selepas melantik Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebagai jurulatih sementara, sekali gus menang 3-2.

Bagaimanapun, wira dalam pertembungan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang itu semestinya pemain muda mereka, Izzat Zikri Iziruddin yang meledak jaringan kemenangan.

Ketika perlawanan terikat 2-2 memasuki minit ke-70 permainan, dia yang berada di luar kotak penalti Sri Pahang FC tidak berfikir panjang untuk melakukan rembatan daripada situasi bola muntah.

Percubaannya yang deras dilihat sukar untuk ditepis penjaga gol skuad Tok Gajah, Izham Tarmizi yang terpaksa akur melihat gol daripada pemain Piala MFL itu.

405856546_888998652740790_1371316720953214489_n

Skuad Harimau Kumbang meraih kemenangan berharga ke atas Sri Pahang FC pada Ahad. Facebook/Penang FC

Sumbangan Izzat tersebut sekali gus menaikkannya sebagai salah seorang prospek terhangat buat Penang FC dengan ramai pihak mahu melihatnya terus berjaya pada masa akan datang.

Sokongan itu disemarakkan lagi apabila bekas jurulatihnya dalam skuad Projek FAM-MSN, Noor Zaidi Rohmat berkongsi tangkap layar daripada perbualan mereka sebelum perlawanan.

"Assalamualaikum coach, saya nak minta restu untuk perlawanan debut saya dalam Liga Super petang ini (Ahad). Minta halal segala ilmu atau makan minum.

"Doakan saya dapat buat yang terbaik untuk Penang FC dan minta maaf kalau ada salah silap coach," kata Izzat yang sebelum ini beraksi dalam skuad Projek FAM-MSN untuk beberapa tahun.

Kata-kata itu disusuli dengan suntikan semangat daripada Noor Zaidi yang pastinya tahu kesungguhan serta semangat dimiliki pemain tengah tersebut.

WhatsApp Image 2023-11-27 at 09.25.55

Noor Zaidi berkongsi tangkap layar daripada mesej antaranya dengan Izzat Zikri. Twitter/noorzaidirohmat

"Anda cuma perlu bermain seperti biasa kerana kamu ada kekuatan tersendiri, fokus di situ. Kesilapan pasti akan berlaku, jangan terlalu tertekan. Nikmatilah perlawanan ini," jawab jurulatih tersebut.

Musim ini, Izzat merupakan antara tonggak utama pasukan simpanan Penang FC dengan 11 penampilan dicatatkannya dalam saingan Piala MFL.

Jadi, jaringan berkenaan semestinya membuka peluang lebih cerah buatnya untuk tampil dengan lebih kerap dalam misi menambah baik kedudukan pasukan dalam carta.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Kumbang kembali menduduki tangga ke-10 Liga Super setelah satu musim yang bergelora buat mereka.

Situasi itu menyaksikan pihak pengurusan kelab memilih untuk membawa masuk Akmal Rizal yang sebelum ini memikul tanggungjawab sebagai pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Penang FC.

Kelab Utara tanah air berkenaan masih berpeluang untuk menambah baik kedudukan pasukan dengan dua aksi Liga Super berbaki berdepan Terengganu FC dan Johor Darul Takzim (JDT). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram