PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad akui akan berdepan aksi sukar menentang Penang FC pada Ahad ini dengan kedua-dua kelab berkenaan ingin merebut tiga mata berharga bagi mengukuhkan kedudukan masing-masing di saingan Liga Super.
Legenda bola sepak Singapura itu berkata, beberapa pemain Penang FC mempunyai kelebihan dari segi fizikal, yang mana ia akan memberi kelebihan untuk menghalang mereka daripada mendapatkan kemenangan di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Ahad.
“Pertandingan ini nampak senang tapi memang susah. Mereka (Penang FC) pun nak menang main di tempat sendiri. Nak baiki kedudukan mereka sama seperti kita nak sampai ke tahap kelima atau mungkin fight untuk keempat.
“Main dengan Penang agak berat untuk kita sebab mereka ada pemain fizikal bagus. Ada beberapa pemain dari Brazil seperti Soony Saad. Kita harus waspada tapi yakin dengan kita punya kelebihan,” katanya memetik temu bual bersama Astro Arena.
Selepas 23 perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan kelima dengan mengutip 44 mata dan mampu mengejar kedudukan lebih baik jika berjaya mengutip mata maksimum pada baki tiga perlawanan.
"Nampak senang, tapi SUSAH" -- Fandi Ahmad#NadiWeekend #DemiLigaKita pic.twitter.com/2u8GtckIDA
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) November 25, 2023
Sri Pahang bagaimanapun berdepan masalah kecederaan menjelang aksi penting bertemu Harimau Kumbang, selain dua daripada pemain utamanya mengalami penggantungan perlawanan.
Susulan daripada dua isu berkenaan, pengendali berusia 61 tahun itu akan menggunakan khidmat pemain Bawah 23 tahun (B-23) mereka iaitu Mohammad Saiful Jamaluddin pada aksi menentang Harimau Kumbang.
“Persiapan kurang baik kerana kami banyak kecederaan. Ada dua pemain yang digantung perlawanan tapi kita ada pemain lain. Insya-ALLAH pemain lain yang belum dicuba sangat, kita akan usahakan untuk mereka bermain.
“Kita ada Saiful dari B-23 tahun. Mudah-mudahan ada peluang mainkan dia juga di babak kedua mungkin,” kongsinya mengenai perkembangan semasa Sri Pahang.
Untuk rekod, Sri Pahang menang 1-0 ke atas Harimau Kumbang dalam aksi Liga Super pada Mei lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram