Semangat juang, gabungan pemain baharu dan lama rahsia Akmal Rizal benam Tok Gajah


  • Podium
  • Isnin, 27 Nov 2023

Sebahagian aksi skuad Harimau Kumbang dan Tok Gajah bergelut untuk meraih kemenangan berharga dalam saingan Liga Super. — Facebook/MFL

MEKSPUN hanya berstatus sebagai pengendali sementara, Akmal Rizal Rakhli tentunya akan mengingati penampilan sulungnya dalam saingan Liga Super 2023 sebagai Ketua Jurulatih sejak sekian lama.

Pasukan kendaliannya, Penang FC bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Sri Pahang FC 3-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Georgetown pada Ahad.

Ia merupakan kemenangan manis apabila kelab itu menamatkan rentetan tujuh perlawanan tanpa kemenangan mereka dalam Liga Super sejak Julai.

WhatsApp Image 2023-11-27 at 16.56.24

Izzat (jersi biru) dilihat cukup berpuas hati dengan gol peribadinya dalam penampilan pertama pemain itu dalam Liga Super. — Facebook/MFL

Akmal berkata, semangat juang itulah yang paling menggembirakannya.

“Saya membuat perubahan pada barisan pemain, terdapat gabungan pemain baharu dan lama, yang baharu adalah daripada skuad Piala MFL. Saya perlu katakan saya gembira dengan komitmen mereka selama 90 minit.

“Semangat juang sentiasa ada dan kami menunjukkannya dengan melimpah ruah menentang Tok Gajah. Dengan semangat itu, kita boleh mengalahkan sesiapa sahaja," katanya.

Tambahnya lagi, prestasi Abdul Abdeen Temitope bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana dia percaya penyerang import itu mampu mencetak gol.

"Apabila saya mengambil alih pasukan, saya ada menghubungi Abdeen dan memberitahu bahawa dia mempunyai kualiti untuk menjadi penyerang. Saya membantu dia mendapatkan keyakinan dan dia membalas kepercayaan itu.

“Kini, dia mempunyai rentaknya dan akan memberikan persembahan dalam perlawanan akan datang," jelasnya.

Selain Abdeen yang membantu mencetak dua jaringan, gol kemenangan pula disumbangkan oleh pemain skuad Piala MFL Penang, Izzat Zikri menerusi satu voli dari luar kotak penalti berjaya menghadiahkan tiga mata untuk Harimau Kumbang.

“Izzat banyak membantu saya dalam Piala MFL, jadi saya tahu kualitinya yang bagus untuk saya. Dia mendapat gol kemenangan, memang patut," ujarnya.

Penang FC kini menghuni tangga ke-10 liga dengan 23 mata selepas 24 perlawanan. Manakala, Pahang di tangga kelima dengan 44 mata selepas 24 perlawanan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram