HEBOH lagi kem Kelantan FC apabila seorang pemain pasukan berkenaan mendedahkan hanya menerima elaun sebanyak RM500 daripada pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman ataupun mesra dengan panggilan sebagai Zamsaham.
Menurut pemain yang enggan mendedahkan namanya itu, skuad The Red Warriors (TRW) kini sedang berdepan dengan isu tajaan sehingga menyebabkan kelab Pantai Timur tersebut sedang mengalami tunggakan gaji selama tiga bulan.
Disebabkan masalah skuad TRW yang masih tidak menemui jalan penyelesaian itu, pemain berkenaan bertekad untuk melupakan hasrat beraksi di bumi Kelantan dan difahamkan sudah mendapat tawaran dari sebuah kelab Pantai Timur.
Meskipun identiti pemain berkenaan tidak diketahui namun para penyokong sudah mula menyebut beberapa untuk dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Pantai Timur seperti Terengganu FC (TFC), Sri Pahang FC mahupun Kelantan United FC (KUFC).
Berdasarkan prestasi semasa anak-anak buat Alfredo Vera, terdapat tiga tonggak Kelantan yang dijangka akan mendapat majikan baharu pada musim depan;
1) Fazrul Amir
Fazrul antara tonggak Kelantan yang sering mendapat perhatian dari kelab lain. — Facebook/Kelantan FC
Sejak awal musim lalu, nama Fazrul Amir Zaman terus dikaitkan dengan beberapa pasukan tempatan seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC yang juga kelab berpangkalan di Pantai Timur tanah air.
Fazrul Amir sebelum ini dilaporkan hampir menjadi tonggak sayap secara pinjaman KDA FC pada jendela perpindahan Julai lalu namun melupakan perkara berkenaan dan meneruskan perjuangan bersama negeri kelahirannya.
Pemain berusia 23 tahun yang boleh beraksi sebagai penyerang sayap kiri dan kanan berkenaan sudah merekodkan tiga jaringan gol dan satu hantaran bantuan dalam 19 perlawanan saingan Liga Super 2023 dia diturunkan setakat ini.
Untuk rekod, pemain bertubuh kecil itu memulakan karier remajanya di PKNS FC dan berhijrah ke Kelantan United pada musim 2020 sebelum menyertai Kelantan FC pada jendela perpindahan yang lalu.
2) Muhaimin Izuddin
Muhaimin pernah dilabel seperti Azam Azih oleh penyokong. — Facebook/Kelantan FC
Sejak tahun lalu, pemain muda tengah Kelantan FC, Muhaimin Izuddin Asri dikatakan antara nama yang menjadi buruan kelab-kelab elit Liga Super namun akhirnya dia lebih memilih untuk kekal di negeri kelahiran sendiri.
Bekas pemain projek FAM-MSN itu juga pernah dikaitkan bakal menyarung jersi Sang Kenari pada musim ini selepas Muhaimin sering dilihat senang dalam mengawal jentera tengah Kelantan pada usia yang sangat muda.
Tonggak berusia 21 tahun itu boleh beraksi di pelbagai posisi termasuk bahagian sayap dan kelebihannya tersebut sememangnya menjadi buruan kelab Liga Super yang sering mencari-cari pemain versatil.
Muhaimin yang pernah dilabel pelapis arkitek Sri Pahang, Azam Azih oleh penyokong itu sudah bermain sebanyak 17 perlawanan termasuk satu aksi Piala Malaysia pada musim ini.
3) Harith Akif
Harith ketika menjaringkan dua gol ketika bertembung dengan skuad Harimau Kumbang. — Facebook/MFL
Penyerang prospek Kelantan, Harith Akif mula mendapat perhatian penyokong bola sepak tanah air apabila hampir menjaringkan hatrik selepas meledak dua gol ketika perlawanan menentang Penang FC pada Julai lalu.
Sudah diturunkan dalam tujuh perlawanan Liga Super dan satu dalam saingan Piala Malaysia, penyerang berusia 22 tahun itu merupakan antara pilihan utama untuk mengemudi jentera serangan Kelantan dalam saingan pusingan kedua liga.
Walaupun sudah tidak meledak sebarang gol selepas aksi tersebut namun sumbangannya membantu bahagian serangan TRW memberikan tanggapan dan kesan yang mendalam kepada kem TRW serta penyokongnya.
Kehadiran graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu setidak-tidaknya boleh menambah pilihan untuk penyerang tempatan bagi kelab Pantai Timur seperti TFC, Sri Pahang dan KUFC pada musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram