Tiada kos diperlukan perbaiki padang di Bukit Jalil — Hannah Yeoh


  • Podium
  • Sabtu, 25 Nov 2023

Hannah Yeoh memberi jaminan itu melihat kepada keputusan PSM membangunkan tapak semaian rumput sebelum ini.

TIADA kos terlibat bagi membaik pulih permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang rosak susulan konsert Coldplay diadakan di venue berkenaan pada Rabu lepas, tegas Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Katanya, ini kerana terdapat tapak semaian berdekatan stadium berkenaan yang mempunyai rumput jenis Zeon Zoysia dan boleh terus digantikan jika permukaan padang rosak.

"Jadi, bila ada rawatan dan pembaikan (terhadap permukaan padang), ia tak melibatkan kos kerana tapak semaian itu sudah wujud.

WhatsApp Image 2023-11-24 at 16.02.26

Tunku Ismail Idris berkongsi status semasa padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, KL pada Jumaat.

"Jadi jangan risau, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan pastikan padang sudah tersedia untuk perlawanan nanti," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Train-the-Trainee bagi Pengarah Klinikal dan Atlet Sihat di Melaka pada Sabtu.

Sebelum ini, pemilik kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) Tunku Ismail Idris yang mengurniakan rumput jenis Zeon Zoysia untuk digunakan di stadium itu memuat naik gambar keadaan permukaan padang gelanggang rasmi Harimau Malaya itu yang kelihatan terjejas di beberapa bahagian menerusi Instastory peribadinya.

BACA LAGI: Hans Isaac respons lepas TMJ ‘up’ gambar terkini padang SNBJ, tapi persoalan Hrithik Roshan belum terjawab

Meskipun Tunku Ismail memuat naik gambar berkenaan tanpa sebarang kapsyen, pengguna media sosial rata-rata meluahkan kekesalan dan ketidakpuasan hati melihat keadaan permukaan padang itu.

Rabu lepas, kira-kira 85,000 peminat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan konsert Coldplay yang merupakan sebuah kumpulan rock British.

Sebelum ini, permukaan padang stadium berkenaan menjadi buah mulut orang ramai kerana keadaannya yang tidak memuaskan ketika aksi pembukaan Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia dan India pada bulan lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram