Kolej Universiti UOW Malaysia kini dinaik taraf sebagai Universiti Wollongong Malaysia


  • Bizz
  • Rabu, 22 Nov 2023

Majlis sambutan makan malam Universiti Wollongong Malaysia berlangsung di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya, Selangor.

LEMBAGA Pengarah UOW Malaysia KDU berbesar hati mengumumkan perubahan status Kolej Universiti UOW Malaysia yang akan dinaik taraf ke Universiti Wollongong Malaysia.

Universiti Wollongong Malaysia yang berasal dari Kolej KDU, ditubuhkan pada 1983 oleh Paramount Corporation Berhad dan telah dinaik taraf kepada Kolej Universiti KDU pada 2010.

Sejak penubuhannya, UOW Malaysia KDU telah menyediakan pendidikan tinggi yang berpatutan dan mendapat kepercayaan rakyat Malaysia.

Pada 2019, UOW Australia memperoleh pegangan majoriti dalam UOW Malaysia KDU sekali gus menjadi pemilik bersama Paramount Corporation Berhad.

Kini, Universiti Wollongong Malaysia merupakan sebahagian daripada rangkaian global UOW, yang mempunyai kampus di Australia, Dubai, Hong Kong dan tidak lama lagi turut dibuka di India.

Dengan kenaikan taraf itu, Universiti Wollongong Malaysia secara tidak langsung telah menyertai kumpulan pengajian swasta terkemuka di Malaysia dan bersedia untuk menyerlahkan identitinya sebagai kampus yang berinovatif, bervariasi serta mempunyai rangkaian meluas di peringkat global.

Majlis makan malam Universiti Wollongong Malaysia telah dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin, kata-kata aluan oleh Canselor Universiti Wollongong Malaysia, Datuk Seri Michael Yam serta ucapan tahniah daripada Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Australia, Simon Fellows.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Wollongong Global Enterprises kerana memilih untuk melabur dalam sektor pendidikan tinggi di Malaysia.

"Hasil kerjasama yang terjalin, UOW Malaysia kini menjadi sebahagian daripada keluarga global UOW di Australia, Dubai, Hong Kong dan tidak lama lagi di India.

"Dengan usaha sama yang hebat antara UOW dan Paramount Corporation Berhad, maka tidak hairanlah mengapa Kolej Universiti UOW Malaysia mampu mencapai status Universiti hanya dalam masa empat tahun melalui kerjasama yang terjalin," kata Michael Yam dalam majlis tersebut.

makan malam uow

Majlis sambutan makan malam Universiti Wollongong Malaysia berlangsung penuh gemilang.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada bekas pelajar ataupun alumni yang kini menurutnya sudah berjaya dan melangkah jauh ke hadapan dalam pelbagai bidang yang diceburi.

"Saya telah berjumpa dengan ramai alumni yang berjaya dan sebahagian daripadanya merupakan kenalan saya.

"Pada malam ini, kita mempunyai seorang individu yang sangat disegani di meja utama iaitu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

"Sekiranya anda merupakan seorang pemain golf, nama Gavib Green pastinya tidak asing lagi dalam sukan tersebut kerana beliau adalah salah seorang pemain profesional terkemuka di Malaysia.

"Di Intel Microelectronics, salah satu pelabur Perbadanan Multinasional (MNC) terbesar Pulau Pinang, kita ada Dr Ong Tze Wei manakala dalam bidang hiburan, Darren Choy adalah Pengarah Urusan Warner Music di Malaysia dan Vietnam," katanya.

Turut sama memeriahkan majlis tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mewakili bekas alumni dari pusat pengajian tersebut.

Di samping itu, Naib Canselor dan Presiden Universiti Wollongong Australia, Profesor Patricia M. Davidson memuji rakan sepasukan dari Malaysia atas ketabahan dan kepimpinan cemerlang dipamerkan dalam mengekalkan reputasi serta kualiti jenama UOW di Malaysia.

"Peningkatan ke taraf universiti adalah salah satu pencapaian yang membanggakan dan membuka tawaran ke hadapan yang lebih besar buat UOW di Malaysia," kata Profesor Davidson.

"UOW telah menjadi pelopor dalam membawa pendidikan Australia kelas atas ke seluruh dunia dan saya teruja melihat pencapaian penting ini mampu dicapai," katanya.

menari uow

Persembahan tarian pelbagai budaya daripada pelajar UOW Malaysia.

Beliau disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UOW Global Enterprises, Marisa Mastroianni yang memuji rakan sepasukan dari Malaysia atas daya tahan dan usaha keras yang dijalankan bagi memastikan peningkatan itu berjaya diperoleh.

Kedua-duanya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Khaled Nordin atas kepercayaan yang diberikan kepada Universiti Wollongong Malaysia untuk diiktiraf sebagai antara universiti swasta terulung di Malaysia.

Majlis makan malam itu turut dihadiri individu kenamaan daripada agensi kerajaan, kedutaan dan sektor korporat, ketua universiti cawangan luar negara, universiti swasta dan awam, pihak berkepentingan, kakitangan, alumni dan pelajar Universiti Wollongong Malaysia.

Bagi menghargai majlis yang penuh gemilang itu, tetamu dihiburkan dengan persembahan tarian pelbagai budaya oleh pelajar UOW Malaysia.

Kemuncak majlis itu ialah pelancaran nama baharu universiti tersebut oleh Menteri Pengajian Tinggi bagi menandakan pencapaian bersejarah Universiti Wollongong Malaysia dan simbolik kepada lembaran baharu buat institusi berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram