Usaha Hannah Yeoh minta FAM turunkan harga tiket, pasang skrin besar harus dipuji


  • Podium
  • Rabu, 15 Nov 2023

Penyokong Malaysia kecewa dengan harga tiket untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027. — Facebook/FAM

JUALAN tiket bagi aksi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Republik Krgyz terus menunjukkan peningkatan.

Setakat hari Rabu, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengesahkan sebanyak 7,587 keping tiket telah pun dijual. Walaupun ada peningkatan, ia belum cukup untuk memastikan Stadium Nasional Bukit Jalil gegak gempita dengan sorakan ekor Harimau Malaya.

Rata-rata penyokong berasakan harga tiket yang agak tinggi menjadi punca mengapa tidak ramai mahu ke stadium. Sebagai rekod, harga tiket dijual pada RM40 (terbuka), RM60 (granstand) dan RM80 (premium) serta RM5 untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun.

Ditambah dengan faktor perlawanan diadakan pada pertengahan bulan serta selepas cuti hujung minggu panjang kerana sambutan perayaan membuatkan ramai berasakan elok saja melihat aksi Harimau Malaya saja di rumah menerusi televisyen.

Keluhan ini mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Hannah kemudiannya secara terbuka meminta FAM untuk menurunkan harga tiket dengan mengenakan kadar "rahmah" sahaja supaya lebih ramai penyokong boleh ke stadium.

"Saya juga melihat komen yang meminta tiket Rahmah supaya lebih ramai beli dan saya pun sudah sampaikan kepada Datuk Hamidin Mohd Amin. Sekarang saya sedang menunggu maklum balas daripada FAM.

"Sebaiknya boleh untuk kita perbanyakan lagi jualan tiket supaya Harimau Malaya dapat dengar sokongan," kata Hannah menerusi Berita Harian.

Namun begitu, bukannya pujian dihamburkan tetapi tindakan Hannah itu dianggap sebagai populis oleh sesetengah penyokong. Hal ini kerana, jika harga tiket berterusan 'dirahmahkan' ia akan merugikan pasukan kebangsaan.

"Macam mana industri nak maju kalau menteri asyik buat kenyataan popular sahaja?," soal penyokong yang juga pemerhati bola sepak tempatan, Piang Shankly.

Hannah dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kemudiannya melancarkan program tayangan skrin besar bagi perlawanan tersebut di 14 lokasi seluruh negara.

Tindakan itu turut mengundang kritikan penyokong kerana ia akan membuatkan orang ramai menjauhkan diri daripada stadium kerana mempunyai pilihan lebih mudah.

"Sepatutnya buatlah kempen untuk turun ke stadium bukan skrin gergasi macam ni. Lainlah kalau di luar kawasan seperti Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur," kata Irsyad Shahir.

"(Buat) kempen turun stadium bukan tayangan skrin besar lagi-lagi di Lembah Klang," ujar pemilik akaun @tvfqhmzh di Twitter (X).

"Kutipan tiket sudahlah perlahan. Dia (KBS) buat tayangan skrin besar pula. Bijak!," komen Vikram Rathore.

Jualan tiket amat perlahan jika dibandingkan perlawanan-perlawanan sebelum ini. Diharapkan, pada saat akhir akan meningkat jumlahnya supaya Bukit Jalil akan 'bernyawa' dengan sorakan padu ekor Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram