HAD umur 30 tahun bagi belia di Malaysia akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 berbanding usia 40 tahun yang ditetapkan ketika ini.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, kerajaan telah menetapkan tarikh kuat kuasa bagi Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602] pada 1 Januari 2026.
Beliau berkata, pindaan itu antara lain melibatkan penurunan had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun sahaja.
Katanya, penetapan tarikh itu adalah hasil daripada beberapa siri perbincangan antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).
"Oleh itu, kerajaan telah bersetuju dengan tarikh kuat kuasa berkenaan, warta penetapan tarikh mula kuat kuasa telah pun disiarkan di laman sesawang Jabatan Peguam Negara pada 20 November 2023.
"Susulan daripada pewartaan ini, adalah penting bagi KBS melakukan pemakluman pada hari ini kerana semua pihak berkepentingan berkaitan belia perlu cakna akan penguatkuasaan pindaan tersebut, khususnya berkaitan dengan had umur belia," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, Kuala Lumpur pada Khamis.
Pada masa sama, Hannah menekankan penurunan had umur berkenaan sejajar dengan Dasar Belia Malaysia dan takrifan umur belia di negara lain yang meletakkan had umur belia di bawah 30 tahun.
"Sebagai contoh Indonesia (16-30 tahun), Filipina (15-30 tahun), Thailand (15-24 tahun), Korea (9-24 tahun), Australia (12-24 tahun),” katanya.
Dalam pada itu, Hannah berkata, satu Jawatankuasa Bersama diketuai timbalannya Adam Adli Abd Halim bagi membincangkan program-program transisi serta strategi untuk memperkasa kepimpinan dan meningkatkan keahlian pertubuhan belia daripada golongan belia yang lebih muda.
Katanya, satu kerangka pelan transisi akan disediakan secara perundingan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan pada suku pertama 2024 untuk melancarkan proses transisi itu.
Dalam perkembangan berasingan, Hannah mengumumkan keputusan Jemaah Menteri yang meluluskan pemberian bantuan pentadbiran sebanyak RM5 juta setiap tahun bermula tahun ini kepada MBM dan badan gabungan tertakluk kepada Akta 668 bagi mengukuhkan tadbir urus dan pengoperasian pertubuhan belia.
"Sokongan ini akan membantu MBM dan badan gabungan untuk lebih aktif dalam melaksanakan program-program belia," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram