PENGANJURAN konsert Coldplay pada Rabu lalu menyebabkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat bola sepak apabila ia memberi kesan terhadap kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Hal berkenaan dibuktikan apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim memuat naik sekeping foto di InstaStory peribadinya tanpa sebarang 'caption' memaparkan keadaan rumput di venue tersebut.
Situasi itu pasti menyebabkan pemilik Johor Darul Takzim (JDT) tersebut sedikit terkilan dengan dia sebelum ini pernah memberikan dana untuk tujuan penukaran rumput.
Perkongsian tersebut sekali gus menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat bola sepak tanah air memandangkan stadium terbabit akan digunakan untuk aksi final Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC pada 8 Disember.
Hans Isaac berkongsi gambar dan suasana di tapak semaian PSM.
Tidak cukup dengan itu, ada juga daripada mereka yang mendesak supaya Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk tampil memberi jawapan atas keputusan mengadakan konsert berkenaan.
Jadi, untuk menjawab persoalan di media sosial, Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac memberi bayangan bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil sedia untuk digunakan tidak lama lagi.
Dalam satu hantaran di InstaStory peribadinya pada Jumaat, dia berkongsi sekeping foto bahawa ia akan tersedia untuk digunakan bagi perlawanan akhir terbabit.
"Kerja-kerja sedang bermula untuk aksi akhir Piala Malaysia pada 8 Disember ini," katanya sambil menyertakan gambar gulungan rumput untuk tujuan tersebut.
Namun, respons Hans masih belum menjawab persoalan majoriti peminat bola sepak tempatan berhubung kualiti padang ekoran bintang sensasi Bollywood, Hrithik Roshan juga dilaporkan bakal mengadakan konsert The Stars On Fire Kuala Lumpur Live in Concert di stadium yang sama pada 1 Disember, kira-kira seminggu sebelum final Piala Malaysia.
Tangkap layar daripada hantaran Hans Isaac di Instastory peribadinya.
Sebelum ini, PSM turut menjelaskan bahawa tapak semaian akan dibangunkan bagi menanam rumput jenis Zeon Zoysia yang membolehkan mereka mengganti rumput yang rosak.
Inisiatif berkenaan dilihat cukup penting memandangkan Stadium Nasional Bukit Jalil dijangka akan terus digunakan bagi pelbagai tujuan lain yang tidak hanya tertumpu kepada bola sepak.
Stadium terbabit sebelum ini mengalami perubahan besar-besaran apabila PSM memilih untuk menggantikan rumput jenis 'cow grass' dengan Zeon Zoysia yang lebih berkualiti.
Langkah itu sememangnya membuahkan hasil meskipun pada awalnya dikritik, lebih-lebih lagi ketika aksi Pestabola Merdeka berdepan India pada 13 Oktober.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan, PSM memberi jaminan permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil boleh digunakan bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 pada 8 Disember.
Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi berkata, susulan kerosakan yang berlaku selepas konsert Coldplay Rabu lepas, pihaknya akan melakukan kerja-kerja membaik pulih pada kadar segera seperti yang dilakukan ketika final Pestabola Merdeka 2023 sebelum ini.
"Kami akan pastikan permukaan padang Stadium Nasional boleh digunakan untuk final Piala Malaysia nanti. Kami sedar keprihatinan dan kebimbangan yang timbul dan akan segera mengatasi perkara itu,” katanya ketika dihubungi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram