
CABARAN besar masih perlu ditempuhi Kuala Lumpur (KL) City FC apabila mereka perlu berdepan tiga aksi Liga Super 2023 sebelum menutup tirai musim ini.
Mereka yang kini berada di tangga kelapan dilihat tidak lagi berpeluang untuk menduduki kelompok lima pasukan terbaik dengan kedudukan keenam merupakan satu-satunya sasaran relevan.
Bagaimanapun, harapan mereka untuk terus mendaki anak tangga juga seperti cukup sukar berdasarkan prestasi semasa dengan mereka tewas empat perlawanan berturut-turut, termasuk dua daripadanya dalam saingan Piala Malaysia.
Ia disukarkan lagi dengan laporan bahawa skuad Warga Kota mengalami isu tunggakan gaji sehingga menyebabkan pemain kurang bermotivasi semasa berada di atas padang.
Skuad Warga Kota masih perlu mengharungi tiga perlawanan Liga Super 2023. — Facebook/Kuala Lumpur City
Namun, nasib buruk sekali lagi menimpa pasukan Lembah Klang itu apabila tonggak utama pasukan, Giancarlo Gallifuoco dilaporkan mengalami kecederaan serius.
Dalam satu hantaran di Instagram peribadinya, pemain kelahiran Australia berkenaan difahamkan terpaksa disisihkan untuk baki aksi Liga Super 2023.
"Disebabkan tiga keretakan di tulang pipi, sukar untuk saya katakan bahawa musim 2023 saya sudah berakhir. Terima kasih atas satu lagi tahun cukup bermakna yang membolehkan saya menikmati bersama rakan sepasukan.
"Saya cukup berbangga terhadap penyokong yang sering mencurahkan kasih sayang kepada kami. Kami sangat menghargainya dan untuk baki 3 aksi Liga Super, saya akan memberi sokongan terhadap rakan sepasukan dari tempat duduk penyokong," katanya.
Giancarlo mengalami kesakitan ketika aksi separuh akhir Piala Malaysia di Terengganu. — Instagram/giange94
Perkara tersebut difahamkan berlaku ketika aksi timbal balik Piala Malaysia antara KL City FC dan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 3 November.
Sejak menyertai KL City FC pada 2021, pertahanan tinggi lampai itu boleh diangkat sebagai antara watak utama pasukan, termasuk ketika mereka menjulang Piala Malaysia dua tahun lalu.
Sumbangannya terus ditagih musim ini apabila Giancarlo diturunkan sebanyak 30 kali secara keseluruhan dengan 21 daripadanya terhasil dalam Liga Super.
Kehilangan bek tengah berusia 29 tahun itu pastinya mendesak ketua jurulatih KL City FC, Nenad Bacina untuk meletakkan pemain lain di posisi tersebut dengan Matko Zirdum dan Kenny Pallraj merupakan pilihan utamanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram