[VIDEO] Angkara terpijak kaki, ex-Kedah nyaris 'pecahkan' muka Faisal Halim


  • Podium
  • Rabu, 22 Nov 2023

Tangkap layar video insiden kekasaran di antara Faisal Halim dan Syazwan Zainon pada 2021.

PEMAIN sayap Harimau Malaya, Muhammad Faisal Abdul Halim, kini menjadi bualan seluruh rakyat Malaysia selepas dia mempamerkan aksi terbaik sepanjang pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Chinese Taipei.

Gandingan Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi menjadi watak utama kebangkitan Harimau Malaya menewaskan Kyrgyzstan selepas ketinggalan dengan keputusan 1-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Bersama Selangor FC musim ini, pemain berusia 25 tahun itu telah menjaringkan 11 gol dan lapan 'assist' dalam 20 perlawanan terakhir.

Manakala bersama skuad kebangsaan tahun ini, Faisal Halim menjaringkan lima gol dan empat 'assist' dalam 10 perlawanan terakhir.

Namun adakah anda tahu, dua tahun lalu Faisal Halim pernah membuatkan bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berang dengan tindakannya yang tidak sengaja terpijak kaki semasa permainan berlangsung.

Insiden tersebut berlaku semasa perlawanan di antara Terengganu FC melayani kunjungan Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 21 Ogos 2021.

Dalam perlawanan itu, pada minit ke-57, Faisal Halim sedang melakukan tekanan untuk mendapatkan bola sehingga hantaran tersebut diberikan kepada Syazwan Zainon.

Tanpa tidak sedar, Faisal Halim terpijak hujung but Syazwan yang menyebabkan pemain berusia 34 tahun itu tidak dapat meneruskan permainan akibat mengalami kecederaan.

Tetapi apa yang menarik kata-kata yang dilontarkan Syazwan di luar garisan padang selepas tidak berpuas hati dengan tindakan Faisal Halim itu.

"Okay 'provoke' kita tak kisah, kita tak kisah kad merah.

"Tapi pecah muka dia, kita tak kisah, kurang ajar. Muda lagi kot," luahnya sebelum dikeluarkan dalam perlawanan itu.

Tetapi hubungan antara mereka baik selepas kedua-dua pemain sudah meminta maaf sejurus tamat perlawanan tersebut yang menyaksikan Terengganu tewas dengan keputusan 1-2 di tangan Kedah.

Menjelaskan insiden tersebut kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Faisal sudah pun meminta maaf dengan Syazwan kerana tidak menyedari dengan tindakannya itu.

Musim ini, Syazwan beraksi bersama Kelantan United dan menjaringkan dua gol, empat 'assist' dalam 20 perlawanan terakhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram