SKUAD bimbingan Kim Pan-gon berjaya mencatat kemenangan tipis ke atas Chinese Taipei dengan keputusan 1-0 menerusi jaringan tunggal Darren Lok sekali gus mencatat kemenangan kedua dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Selasa.
Harimau Malaya dipaksa untuk bekerja keras dengan beraksi di atas permukaan padang yang tidak rata apabila ia menyukarkan pemain-pemain negara untuk memanfaatkan peluang terhidang yang dimiliki sepanjang tempoh perlawanan.
Buntu untuk mencari jaringan gol, Pan-gon memasukkan Darren Lok untuk menggantikan Paulo Josue pada minit ke-62.
Selepas beberapa minit dimasukkan, Darren Lok merembat masuk bola selepas keadaan tidak terkawal dalam kawasan penalti lawan pada separuh masa kedua yang memberikan kemenangan kepada Malaysia.
Kemenangan ke atas Chinese Taipei adalah kemenangan pertama Malaysia di Taiwan selepas kalah dalam tiga perlawanan terakhir mereka sejak 2000.
Malaysia kini di tangga teratas Kumpulan D dengan enam mata, manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata selepas Kyrgyzstan berjaya menewaskan Oman untuk mengutip tiga mata pertama.
Namun dalam perlawanan menentang Chinese Taipei itu skuad kebangsaan dilihat memerlukan tonik tambahan bagi memperkuatkan barisan serangan bagi menghadapi kejohanan Piala Asia dan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 21 Mac tahun depan.
Majoriti senaraikan dua pemain yang wajar dipertimbangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta barisan kejurulatihan skuad kebangsaan bagi memperkuatkan Harimau Malaya di masa akan datang.
1. Romel Morales Ramírez
Ketandusan penyerang tulen dalam skuad kebangsaan ketika ini cukup membimbangkan apabila pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon hanya memiliki Darren Lok sebagai pilihan utama.
Paulo Josue yang diletakkan sebagai penyerang ketika bertemu Chinese Taipei tidak dapat mengulangi kejayaan hatriknya ketika Harimau Malaya membenam Papua New Guinea pada Jun lalu.
Dengan faktor umur semakin meningkat buat kedua-dua pemain, FAM perlu sedaya upaya membantu pemain import Kuala Lumpur City FC (KL City), Romel Morales dalam proses naturalisasinya.
Mempunyai ketinggian 1.87 meter ia bakal menjadi aset penting buat skuad Pan-gon selepas penyokong Harimau Malaya dikecewakan dengan Guilherme de Paula.
Boleh beraksi di posisi nombor 10, penyerang dan sayap kanan, pemain berusia 26 tahun itu telah menjaringkan sembilan gol serta satu 'assist' dalam 20 perlawanan bersama The City Boys musim ini.
Adakah kita akan melihat Romel dalam skuad kebangsaan semasa Piala Asia 2022 ataupun kelayakan Piala Dunia 2026 tahun depan? Ia selepas dikhabarkan proses naturalisasinya di peringkat akhir.
2. Wan Kuzain Wan Kamal
Jentera tengah Harimau Malaya menunjukkan peningkatan yang baik dengan kehadiran Endrick dos Santos yang mampu menjadi arkitek dalam membina serangan skuad kebangsaan.
Namun prestasi Brendan Gan di pentas antarabangsa mula dipersoalkan kemungkinan disebabkan faktor umur yang mana persembahannya tidak seperti dulu lagi.
Dengan kehadiran Wan Kuzain yang sedang dalam prestasi terbaiknya di Liga MLS Next Pro (Amerika Syarikat) pastinya dapat memperkuatkan lagi barisan tengah Harimau Malaya.
Selain beraksi di Amerika, perlu diingat pemain berusia 25 tahun itu mempunyai pengalaman dipanggil oleh pasukan muda negara Uncle Sam itu.
Beraksi sebagai tengah bertahan, Kuzain mempunyai kualiti rembatan jarak jauh seperti Stuart Wilkin tetapi kaki dominannya ialah sebelah kiri.
Pemain yang pernah menjaringkan gol di Liga Utama MLS bersama Sporting KC menerusi rembatan deras menggunakan kaki kirinya ketika menentang Minnesota United FC pada 2018.
Kuzain juga mampu bermain di posisi sayap kanan ia sekali lagi memberikan kelebihan buat Pan-gon jika mahu mengubah taktikal pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram