Kelantan FC terkandas, 13 kelab lulus ujian Lesen Kebangsaan musim 2024/2025


  • Podium
  • Rabu, 22 Nov 2023

Kelantan FC menjadi satu-satunya pasukan yang tidak lulus Lesen Kebangsaan MFL bagi musim depan.

KELANTAN FC menjadi satu-satunya pasukan yang ditangguhkan Lesen Kebangsaan selepas perlu menunjukkan bukti selesai tunggakan gaji pemain sehingga 31 Ogos yang lalu.

Manakala Kuala Lumpur City FC, Kelantan United dan Sabah FC lulus Lesen Kebangsaan disertakan denda RM20,000 selepas melakukan kesalahan pelesenan.

Pengerusi Pelesenan Kelab Liga Bola Sepak Malaysa (MFL) First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, berkata, 10 pasukan berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan menyaksikan mereka layak bertanding dalam saingan Liga Super 2024-2025.

"Lesen Kebangsaan yang diberikan sah untuk satu musim sahaja iaitu sepanjang 2024 - 2025.

"Bagi musim 2024-2025, 10 kelab yang diberikan Lesen Kebangsaan adalah Johor Darul Takzim (JDT), Perak FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Terengganu FC, Penang FC, Kuching City FC, Kedah Darul Aman FC, Negeri Sembilan FC dan PDRM FC.

"Tiga kelab yang diberikan Lesen Kebangsaan berserta hukuman adalah Kuala Lumpur City FC, Kelantan United FC dan Sabah FC.

"Kelantan FC perlu menyelesaikan bayaran tunggakan atau menyerahkan persetujuan bersama pemain dan pegawai pada 15 November 2023," katanya dalam satu kenyataan.

Kelantan FC

Kelantan mungkin tidak akan beraksi dalam Liga M jika masih gagal menunjukkan sebarang bukti pembayaran gaji tertunggak pemain.

Tambahnya lagi, sehingga kini pihak MFL FIB masih belum menerima sebarang bukti pembayaran daripada Kelantan meskipun tarikh akhir 15 November telah berlalu.

"Pihak FIB tidak menerima sebarang bukti bayaran ataupun persetujuan bersama permain dan pegawai sebaliknya hanya menerima rayuan lanjutan masa.

"Hukuman pertama yang dikenakan kepada Kelantan FC adalah denda sebanyak RM20,000 atas kesalahan tidak mematuhi tempoh masa FIB.

"Pihak FIB memberikan peluang terakhir sehingga 30 November untuk menyerahkan bukti bayaran tunggakan gaji sehingga 31 Ogos.

"Sekiranya Kelantan FC telah menyelesaikan langkah pertama, Kelantan FC masih perlu menyelesaikan langkah kedua untuk menerima Lesen Kebangsaan.

"Namun, jika gagal di peringkat langkah pertama, Kelantan FC secara automatik tidak akan menerima Lesen Kebangsaan bagi musim 2024-2025," jelasnya.

Imigresen FC

Imigresen FC menjuarai Liga M3 musim ini.

Menurutnya lagi, tujuh kelab dari Liga M3 tidak diberikan Lesen Kebangsaan selepas keputusan yang dibuat pada Mesyuarat FIB Kali Ke-7 pada 31 Oktober lalu.

"Tujuh Kelab dari MBSB Championship Liga M3 terdiri daripada Imigresen FC, KL Rovers FC, Harini Selangor FT, Armed Forces FC, Perlis United FC, Melaka FC dan Sarawak United FC memohon lesen Kebangsaan 'extraordinary' bagi kitaran pelesenan 2023 untuk Lesen Kebangsaan Liga Super musim 2024 – 2025.

"Namun begitu, kesemua tujuh kelab tersebut tidak diberikan Lesen Kebangsaan selepas keputusan yang dibuat pada Mesyuarat FIB pada 31 Oktober 2023," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram