
SETIAP pasukan mempunyai satu pemain yang akan menjadi ayam tambatan, tidak kisah sama sda mereka memainkan peranan sebagai posisi pertahanan, tengah mahupun di bahagian serangan dengan menyumbang jaringan gol bagi menyelamatkan kelab daripada menjadi mangsa belasahan lawan.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, musim 2023 juga menyaksikan beberapa kelab domestik banyak bergantung harap kepada seorang pemain demi kelangsungan pasukan mereka dalam saingan liga dan tonggak itulah juga yang akan membawa watak bagi setiap perlawanan.
Selain sering memberi aksi konsisten pada setiap perlawanan, kepercayaan ketua jurulatih kepada pemain berkenaan juga ada kalanya berpunca daripada kekurangan tonggak yang mampu diharapkan sehingga selalu menggunakan wajah sama.
Situasi menggunakan wajah sama itu bagi setiap perlawanan juga berlaku dalam saingan Liga Super dan kali ini Majoriti merungkai tiga pemain yang dilabel sebagai ayam tambatan pasukan pada saingan musim ini;
1) Kpah Sherman
Kpah sekali lagi membuktikan kecemerlangannya bersama skuad Tok Gajah musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC
Penyerang import dari Liberia, Kpah Sherman mula menjadi sebahagian keluarga Sri Pahang pada awal musim ini selepas khidmatnya tidak lagi diteruskan oleh Terengganu FC (TFC) sejak kelab itu berada di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner.
Walaupun berat untuk Kpah berpisah dengan Terengganu namun penghijrahannya ke skuad Tok Gajah memberi senyuman kepada penyokong susulan pemain berusia 31 tahun itu tidak mengambil masa lama untuk menjaringkan buat Sri Pahang.
Penjaring terbanyak Piala Malaysia musim 2022 berkenaan menjadi ayam tambatan Tok Gajah di bahagian serangan apabila berhasil menjaringkan 12 gol dan tujuh hantaran bantuan dalam 22 perlawanan Liga Super setakat ini.
Peranannya sebagai watak penting Sri Pahang juga pernah diperakui oleh pengendalinya, Fandi Ahmad yang mahu semua pemain Tok Gajah memainkan peranan dalam membantu pasukan mendapatkan jaringan dan sekali gus untuk mengurangkan tekanan kepada Kpah.
2) Abu Kamara
Kamara pastinya mahu membantu Kuching City bergelar juara dalam aksi final Challenge Cup 2023. — Facebook/KuchingCity
Disifatkan sebagai penyerang underrated dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) namun Abu Kamara dilabel wira Kuching City sejak dia tiba ke kelab Borneo tanah air berkenaan pada musim 2022 sebagai pemain import baharu mereka.
Walaupun baru pertama kali beraksi di tanah air pada saingan musim lalu namun pemain beruia 26 tahun itu sudah mencipta sejarah tersendiri apabil meraih anugerah Kasut Emas Liga Perdana 2022 bersama skuad The Cats.
Ketajamannya di hadapan gawang juga terus disambung di saingan Liga Super apabila sering menjadi wira pasukan dengan menjaringkan di babak akhir perlawanan bagi mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata,.
Misalnya, pemain Liberia itu mencetak satu jaringan bagi mengikat Kuala Lumpur (KL) City FC ketika Kuching bertandang ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jun lalu bagi aksi Liga Super.
Dengan reputasinya kini sebagai penjaring tertinggi Kuching iaitu sebanyak 12 jaringan gol dalam aksi Liga Super, Kamara pastinya akan menjadi ayam tambatan menentang PDRM FC dalam pentas final Piala Cabaran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
3) OJ Porteria
OJ Porteria menjadi penjaring terbanyak Kelantan United dengan tujuh jaringan gol. — Facebook/KUFC
OJ Porteria atau nama sebenarnya Jose Elmer Porteria dibawa masuk oleh Kelantan United dengan menandatanganinya selama semusim bagi memperkuatkan pasukan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023.
Pemain berusia 29 tahuh itu bukanlah import dari rujukan 'Youtube' apabila Porteria mempunyai pengalaman di Liga Filipina, Liga Thailand, Piala AFC dan pernah mencetak jaringan di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bersama kelab Filipina, United City FC pada musim 2020.
Ketajamannya di hadapan gawang juga dapat diterjemahkan dengan cukup baik dengan statistik menunjukkan Porteria sudah mencetak tujuh jaringan gol termasuk satu pada kempen Piala Malaysia dan tiga hantaran bantuan.
Oleh itu, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa pemain Filipina-Amerika berkenaan adalah anak emas untuk skuad Kijang Hijau dengan dia sudah membantu memberi tiga kemenangan berharga buat kelab berkenaan pada musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram