Harga tiket aksi final Piala Malaysia kekal, agihan sama rata


  • Podium
  • Selasa, 21 Nov 2023

CEO MFL, Stuart Ramalingam berkata harga tiket final Piala Malaysia 2023 antara JDT dan TFC kekal. — Agensi

PADA Selasa, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 8 Disember, kekal seperti musim lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, empat kategori tiket aksi kemuncak Piala Malaysia itu akan diagihkan secara sama rata masing-masing kepada JDT dan TFC.

Empat kategori itu adalah General Admission yang menawarkan tiket serendah RM50 dan RM70, Premium Grandstand (RM150) dan VIP Grandstand yang dijual pada harga RM200.

"Penyokong JDT dan TFC akan memiliki pilihan dengan penetapan empat tier harga tiket ini, justeru MFL mengharapkan agar mereka dapat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.

"Bagi proses penjualan tiket final Piala Malaysia 2023, MFL seperti mana sebelum ini menyerahkan sepenuhnya urusan itu kepada pasukan finalis bagi memastikan mereka dapat menjual tiket kepada penyokong dengan sistematik dan sama rata,” katanya dalam kenyataan MFL.

Stuart berkata, maklumat lanjut mengenai proses jualan tiket kepada penyokong akan dimaklumkan oleh pihak JDT dan TFC dalam masa terdekat. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram