Tak berbaloi dan membazir, ada 3 lagi pemain naturalisasi bakal ikut jejak Lee Tuck


  • Podium
  • Khamis, 16 Nov 2023

Lee Tuck (tengah) merupakan antara pemain naturalisasi yang pernah mencetuskan fenomena bersama skuad Harimau Malaya. — FAM

PENGENALAN program naturalisasi telah banyak menyumbang kepada peningkatan prestasi bola sepak kebangsaan sejak ia diperkenalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2019.

Setakat ini, skuad Harimau Malaya sudah memiliki seramai lapan orang pemain yang berstatus naturalisasi dan nyata langkah ini mencetuskan satu situasi yang tidak pernah dijangka oleh peminat tanah air.

Percaturan FAM untuk membentuk gandingan pemain tempatan bersama tenaga import berkualiti telah membantu Malaysia menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit.

Ditambah pula dengan kesan positif menerusi pemain warisan yang dibawa masuk, menyempurnakan lagi barisan anak-anak buah Kim Pan-gon bagi menghadapi kejohanan yang lebih besar di peringkat antarabangsa kelak.

malaysia-4-1

Malaysia melayakkan diri ke Piala Asia 2023 selepas menewaskan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. — FAM

Meskipun begitu, beberapa kelibat pemain naturalisasi negara kini dilihat semakin menyepi dan merudum persembahannya selepas gagal mengekalkan rentak konsisten seperti di awal pembabitannya dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Bekas pemain Kedah FC, Lee Tuck merupakan antara pemain terawal yang meninggalkan karier bola sepaknya apabila menamatkan kontraknya bersama Sang Kenari dan pulang ke negara kelahirannya United Kingdom.

Fokus Lee Tuck kini terarah kepada penglibatan luar bola sepak dengan dia kini merupakan seorang ejen dalam bidang hartanah selain turut mempunyai syarikat hartanah sendiri yang dikenali sebagai Unified Properties.

unified

Unified Properties merupakan perusahaan oleh Lee Tuck dan isterinya di UK. — Instagram/@unifiedproperty

Selain Lee Tuck, tiga lagi pemain naturalisasi negara turut dilabel sebagai 'membazir' oleh penyokong kebangsaan susulan impak sementara yang dibawa ke dalam skuad Harimau Malaya.

1. Mohamadou Sumareh

Pemain kelahiran Gambia ini pernah mencetuskan fenomena menerusi larian pantas serta kelicikannya dalam membawa bola hingga ke kotak penalti lawan di awal pembabitannya sekitar tahun 2018 bersama skuad kebangsaan.

Namun, sejak berpindah ke pasukan Johor Darul Takzim (JDT), ketajamannya kian tumpul dan gagal mencapai sasaran peminat yang mahu terus menyaksikan lebih banyak ledakan dibuat penyerang berusia 29 tahun itu.

Situasi itu dikatakan berlaku susulan kekurangan minit permainan bersama JDT yang menyaksikan kelibatnya lebih kerap memanaskan bangku simpanan berbanding aksi di atas padang.

Untuk rekod, Sumareh merupakan pemain naturalisasi pertama negara selepas mendapat taraf kerakyatan Malaysia pada April 2018 dan berdasarkan rekod, bekas pemain Pahang itu telah menjaringkan lebih tujuh gol sejak membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Malaya pada Oktober 2018.

2. Guilherme de Paula

Guilherme de Paula merupakan nama yang tidak asing dalam kalangan peminat tempatan dengan kelibatnya sentiasa dicemuh dan dikritik hebat setiap kali disenaraikan bersama skuad kebangsaan.

Dilabel sebagai 'pemalas' oleh segelintir penyokong, larian yang kurang cergas dan aksi longlai dipamerkan di atas padang sentiasa mencuri tumpuan ramai sehinggakan ada yang menggesa agar kerakyatannya dilucutkan segera oleh FAM.

Selain itu, ada netizen yang dilaporkan sanggup menyunting gambar De Paula dan melelongnya dalam salah satu portal e-dagang terkemuka tempatan dengan harga RM2.76.

msg-468649021-46555

Wajah Guilherme de Paula disunting dalam sebuah laman portal e-dagang terkemuka tempatan.

Penyerang kelahiran Brazil itu kini mewakili pasukan Melaka FC di Liga M3 secara pinjaman dari JDT namun, aksinya semakin dilupakan dan jauh ketinggalan berbanding pemain naturalisasi yang lain.

3. Liridon Krasniqi

Pemain kedua yang diberikan status naturalisasi selepas Mohamadou Sumareh ini juga tidak terlepas daripada kritikan penyokong.

Meskipun memiliki ketinggian dan fizikal yang tegap, namun ia gagal diterjemahkan kepada kualiti di atas padang yang sama sekali kurang memberikan impak positif di bahagian serangan pasukan.

Meskipun pernah beraksi di Liga Australia, India dan Thailand, bekas pemain tengah JDT ini masih gagal membentuk keserasian bersama mana-mana pemain kebangsaan khususnya di posisi tengah.

Tempatnya kini lebih didominasi Brendan Gan, Nor Azam Azih, Endrick dos Santos dan Paulo Josue. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram