[VIDEO] Baham tiga mangsa termasuk 2 warga asing, pak belang akhirnya masuk ‘perangkap’ Perhilitan Kelantan


  • Massa
  • Rabu, 15 Nov 2023

Tangkap layar seekor harimau belang berjaya ditangkap Perhilitan Kelantan di Pos Pasik, Gua Musang.

SEEKOR harimau belang di Pos Pasik, Gua Musang, Kelantan berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan selepas haiwan buas itu masuk ke dalam perangkap yang dipasang agensi berkenaan.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, harimau berkenaan akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, tangkapan itu susulan daripada serangan harimau belang yang menyebabkan kematian seorang lelaki Orang Asli di Pos Pasik pada 5 Oktober lalu.

"Pada 6 Oktober, kami telah menjalankan Operasi Tangkapan Harimau Belang dengan menjalankan siasatan awal, pemantauan serta pemasangan satu unit perangkap di lokasi aduan.

"Operasi ini melibatkan 10 anggota dan perlu dilaksanakan kerana harimau belang berkenaan masih berkeliaran di sekitar lokasi aduan dan perkampungan di Pos Pasik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Untuk rekod, Majoriti sebelum ini melaporkan tiga lelaki termasuk dua warga asing maut selepas dibaham harimau di lokasi berhampiran Gua Musang.

Mangsa pertama yang merupakan Orang Asli dikenali sebagai Pisie Amud, 25, ditemui penduduk dengan kesan cakaran haiwan liar tersebut pada kepala dan badan, selain sebelah kaki kirinya sudah hilang ketika keluar menyumpit di sekitar Pos Pasik pada 3 Oktober lalu.

Dua lagi mangsa merupakan warga Indonesia dan Myanmar masing-masing ditemui maut dengan kesan baham dipercayai akibat serangan harimau yang sama.

Tambah Mohamad Hafid, keadaan tersebut juga telah menjejaskan kehidupan harian masyarakat Orang Asli setempat kerana Pos Pasik merupakan salah sebuah kampung yang terletak di kawasan perkampungan Orang Asli di Gua Musang.

"Dengan kejayaan operasi ini, ia akan meredakan kegusaran penduduk di sini.

"Bagaimanapun, mereka masih perlu berjaga-jaga dan dinasihatkan keluar ke ladang serta bekerja secara berkumpulan, bukan berseorangan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram